Sabtu, 25 Februari 2012

Nizar dicabar berdebat dengan Adun Behrang: MB Perak




Uploaded by ThePerakToday on Feb 24, 2012

Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini dicabar supaya berdebat dahulu dengan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi yang sudah lama menyuarakan hasratnnya untuk bersemuka dalam satu pentas dengan wakil rakyat PAS itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sehingga hari ini, Nizar yang juga selaku Ketua Pembangkang belum memberi kata putus atau menyahut cabaran Jamaluddin untuk berdebat secara terbuka.

"Rakan media dapat menyaksikan sendiri bagaimana saya dan Nizar berdebat beberapa kali dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Jika beliau menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan saya, biarlah dia (Nizar) berdebat dulu dengan Jamaluddin yang sudah lama ajak berdebat tetapi sehingga hari ini masih belum dijawab," katanya kepada pemberita di Ipoh, petang ini.

Beliau mengulas laporan mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menyatakan kesudiannya untuk berdebat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada bila-bila masa seperti yang dicadangkan Pemuda Pas Negeri.

Nizar berkata, cabaran debat itu satu saranan yang baik untuk memperlihatkan aspirasi PR dan BN kepada rakyat.

Katanya, beliau sedang menunggu tawaran untuk bersemuka dalam satu pentas perdebatan dengan Zambry.

"Saya sedia debat pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 ini. Sudah pasti rakyat ingin tahu aspirasi PR dan BN.

"Ini (debat) sesuatu yang baik bagi menjelaskan sebarang kemusykilan dan kekeliruan rakyat terhadap pelbagai isu yang timbul sejak akhir-akhir ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan BN negeri, berkata pihaknya tidak menafikan setiap pemimpin mempunyai kelebihan masing-masing khususnya sebagai Perdana Menteri.

Katanya, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan antara faktor penting yang bakal menentukan BN mendapat majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum akan datang.

"Ini berdasarkan kepada usaha dan kerja keras yang dilakukan oleh Perdana Menteri termasuklah memperkenalkan dasar serta transformasi yang mewajarkan banyak perubahan berlaku hari ini," katanya lagi.