Ahad, 5 Februari 2012

Shahrizat tidak gentar hadapi tuduhan pembangkang




Uploaded by ThePerakToday on Feb 4, 2012

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan bahawa beliau tidak gentar untuk menghadapi segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO sebaliknya menegaskan serangan yang sengaja dilemparkan terhadapnya itu dianggap sebagai pendorong untuk menghadapi pelbagai ujian mendatang.

"It's okay...kita orang politik dan perkara-perkara macam semua biasa bagi kita malah ia lagi memberi semangat kepada kita untuk menempuhi dugaan.

"Walaupun kita adalah wanita mereka ingat kita akan gentar dengan tuduhan atau ujian yang cuba diberikan....perkara itu hanya ujian biasa sebagai pemimpin," katanya ketika sidang media selepas Majlis Pemantapan Jentera Pilihan Raya Wanita Barisan Nasional (BN) di Beruas, pagi tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli yang menyatakan bahawa parti itu menunggu kepulangan Shahrizat dengan pendedahan terbaru berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan keluarganya.

Ketika menjawab mengenai desakan beberapa pihak yang menuntut beliau meletakkan jawatan dan sekaligus mengundurkan diri daripada arena politik, Shahrizat menyifatkan wujud golongan tertentu yang mempunyai motif tersendiri di sebalik desakan berkenaan.

Katanya, pihak yang membuat desakan itu sepatutnya memikirkan semula kenyataan mereka sebelum menyatakannya kepada media massa.

Ini kerana jelas beliau, golongan berkenaan perlu sedar sejauh mana latar belakang mereka sama ada sebagai ahli politik mahu pun menteri.

"I'm leading about 1.3 juta wanita BN... jadi mereka yang mendesak itu perlu tahu dan sedar bahawa mereka yang mendesak saya letak jawatan itu mempunyai latar belakang politik yang bagaimana.

"Mereka perlu sedar dan bermuhasabah diri sebelum mengeluarkan kenyataan yang mendesak saya supaya berundur... persoalannya adakah mereka sedar latar belakang mereka sendiri dalam arena politik sebelum meminta saya letak jawatan dalam kepimpinan parti.

"Golongan yang membuat desakan itu perlu sedar pengalaman mereka dalam parti berada di tahap mana," katanya lagi.
www.peraktoday.com