Sabtu, 17 Mac 2012

DAP buat kecoh dan kurang ajar di pejabat SPRM Kuching



Cubaan Frusis Lebi, seorang pekebun kurang upaya untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terganggu apabila berlaku pergelutan ketika pengawal keselamatan menghalang kumpulan itu daripada memasuki Bangunan Sultan Iskandar di Kuching.

ADUN Padungan Wong King Wei berkata kumpulan itu telah dihalang daripada memasuki bangunan yang menempatkan ibu pejabat SPRM Sarawak, atas alasan bahawa wakil yang mengiringi beliau memakai baju yang tertera logo DAP.

"Saya ditolak dan dihalang masuk oleh pengawal keselamatan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar ... Pintu utama juga ditutup kepada ahli-ahli DAP dan orang ramai.

"Mengapa? Apabila saya bertanya kepada mereka, orang yang bertanggungjawab berkata ia adalah kerana logo berkenaan adalah dilarang, iaitu logo roket," katanya dalam satu tulisan di Twitter .

Turut mengiringi Frusis adalah ADUN Batu Kawah Christina Chew dan Ketua DAP cawangan Sri Aman Leon Jimat Donald.

Ketika dihubungi, Leon ( kanan ) berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 10:30 pagi apabila ahli kumpulan itu ‘dikasari’ selepas berkeras untuk memasuki bangunan itu bagi membuat laporan SPRM.

"Seorang pengawal keselamatan itu menolak bahu saya dan kami dihalau keluar dengan arahan supaya tunggu di luar," katanya.

Kumpulan itu, katanya, hanya dibenarkan masuk ke dalam bangunan itu dengan iringan pengawal keselamatan selepas lebih daripada 15 minit pertengkaran hangat.

"Kami mahu buat laporan tetapi apabila kita bertemu dengan pegawai itu, dia kata bahawa mereka sendiri sedang menyiasat perkara itu dan tidak ada keperluan untuk membuat laporan tambahan," kata Leon.

Laporan berkenaan adalah berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Muda Pertanian Sarawak Datuk Mong Dagang yang mengakui beliau mengarahkan bantuan subsidi pertanian Frusis dihentikan kerana menyokong pembangkang.

Sementara itu, penolong setiausaha publisiti DAP, Teo Nie Ching ( kiri ) yang melancarkan tabung mengumpul dana menerusi internet selama tujuh hari bagi membantu pekebun kurang upaya itu pada 8 Mac lalu, ketika dihubungi, berkata lebih daripada RM10,000 berjaya dikumpulkan.

Menurut Teo, jumlah sebenar dari kempen yang berakhir semalam akan disiarkan dalam masa terdekat, tetapi menegaskan bahawa ia sangat berjaya walaupun hanya dilakukan menerusi internet.

"Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia kebanyakannya lebih mengambil berat terhadap golongan miskin dan yang memerlukan daripada pentadbiran BN.

"Ini juga membuktikan bahawa walaupun dilabelkan sebagai 'samseng', kebanyakan pengguna internet adalah berfikir secara logik dan rasional. Mereka tahu bagaimana untuk menggunakan platform ini untuk memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Penyata akaun untuk kempen derma itu akan disiarkan minggu depan, kata beliau.

Sambil menambah bahawa kejadian itu masih jauh daripda berakhir, Teo berkata Mong mesti meletakkan jawatan atas tindakannya dan segera mengembalikan subsidi pertanian kepada Frusis.

Nota: Perenggan kedua telah dipinda untuk menjelaskan bahawa pejabat SPRM Sarawak itu terletak di dalam Bangunan Sultan Iskandar di Kuching.- YAHOO NEWS

TM NOTE;
DAP MEMANG SAMSENG.