Khamis, 15 Mac 2012

Ini edisi Malaysiakini tunggu jawapan dari TM esok

30 Orang Asli kesal tak dapat jumpa KM Melaka Elissa Helmy | 7:55PM Mac 14, 12 Seramai 30 Orang Asli kesal kerana tidak dapat berjumpa dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam selepas menunggu hampir empat jam di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh bagi menyerahkan memorandum bantahan berkenaan tanah dan wilayah adat mereka. "Kami dah menunggu hampir empat jam, iaitu dari jam 10 pagi hingga 2 petang tetapi hasrat untuk bertemu dengan ketua menteri dan menyerahkan memorandum ini tidak kesampaian," kata wakil Jaringan Kampung Orang Asli Melaka, Faridah A/K Goh Kam. "Padahal kami sudah maklumkan kepada setiausahanya, mengapakah beliau enggan melayan kami," tambahnya. orang asli malaccaSetelah menunggu hampir empat jam di hadapan pintu masuk bangunan, akhirnya memorandum tersebut sekadar diterima oleh setiausaha sulit kepada Ketua Menteri, Ali Mohamed. Menurut Faridah, memorandum bantahan itu mengandungi 282 tandatangan penduduk membabitkan 11 buah kampung daripada 14 perkampungan Orang Asli yang terdapat di seluruh negeri Melaka. Faridah berkata memorandum tersebut antara lain membantah tindakan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Mohd Ali Rustam yang berhasrat mewartakan 16 perkampungan Orang Asli di Melaka dengan pemberian tanah sebanyak 520.39 hektar kepada 363 ketua isi rumah. "Sekiranya perkara itu terlaksana, setiap ketua isi rumah cuma memperolehi 1.5 hektar tanah sahaja. "Kami juga menuntut segala aktiviti yang sedang berjalan di atas tanah dan wilayah adat Orang Asli dihentikan dan menarik balik lesen yang diberikan kepada kontraktor yang bekerja di atas tanah itu. "Pihak yang berkenaan juga perlu membayar pampasan yang sewajarnya menurut Perlembagaan Persekutuan di atas kerosakan dan kerugian yang kami hadapi dan mengiktiraf wilayah adat Orang Asli menurut peta komuniti Orang Asli," katanya.