5 Mac 2012
KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur akan mengikut jejak langkah Putrajaya menjadi kawasan mesra-basikal melalui penyediaan pelbagai kemudahan untuk menunggang dalam masa terdekat.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, perbincangan mengenai perkara itu sedang dijalankan dengan mengambil kira beberapa faktor terutama keselamatan sebelum ia dilaksanakan.
“Kuala Lumpur banyak kawasan yang perlu diubahsuai, tidak semua kawasan mesra basikal, takut ada kemalangan, perlu fikir pengguna trafik yang lain juga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Berbasikal ‘Fun Ride’ sempena Hari Wilayah 2012 anjuran
Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pergerakan Pemuda Umno, di sini, semalam.
Seramai 900 penunggang basikal pelbagai bangsa dan usia menyertai program itu dengan mengelilingi sekitar ibu kota dalam jarak sejauh 13 kilometer.
Antara yang mengambil bahagian ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.
Dalam perkembangan sama, Raja Nong Chik berkata, kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil pelbagai langkah dalam memberi lebih ruang kepada pejalan kaki dan penunggang basikal di dalam bandar.
“Untuk pejalan kaki, kita sedang sediakan walkway dan untuk yang berbasikal apabila selesai projek menghubungkan taman-taman di sekitar bandar ini, ia akan (lebih) galakkan aktiviti berbasikal,” katanya.
Mengenai bandar mesra-basikal Putrajaya, Raja Nong Chik berkata, ia telah memasuki peringkat pelaksanaan dan perkhidmatan menyewa basikal akan diwujudkan di beberapa kawasan itu.
“Mungkin dalam tahun ini juga, basikal pun dah dibeli dan dalam proses penghantaran, kumpulan pertama basikal akan sampai dan akan dikunci di kawasan-kawasan tertentu,” katanya.
Pada 17 Disember lepas, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen memperkenalkan lapan Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia Putrajaya sebagai satu lagi tarikan pelancong dalam dan luar negara mengunjungi lokasi itu sebagai destinasi percutian.
Mengenai program ‘Fun Ride’, Presiden SHEB, Tengku Azman Tengku Zainul Abidin berkata, ia dianjurkan sebagai satu langkah mendekati golongan remaja selain menyampaikan mesej kepada kerajaan untuk memberi lebih perhatian kepada penunggang basikal yang semakin meningkat bilangannya di ibu kota.
“Ini adalah salah satu objektif kita, kita minta supaya kerajaan dapat menyediakan lebih banyak kemudahan dalam bandar seperti tempat meletak basikal, laluan khas dan sebagainya,” katanya. - Bernama
TM NOTE
Cadangan menjadikan KL mesra basikal ini amat baik, dapat mengurangkan kesesakan kenderaan dan membersihkan udara, sihat tubuh badan dan menjimatkan.
Cuma kena ada banyak tempat letak basikal . basikal juga bebas naik LRT dan Komuter seperti di Barat. Ada CCTV untuk memamtau keselamatan harta benda awam dari dicuri oleh penyangak.