Ahad, 25 Mac 2012
MB Sambutan Hari Polis Peringkat IPK Negeri Perak.mpg
Sumbangan RM3,000 yang diserahkan kepada setiap pesara polis yang berkhidmat di zaman darurat membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengenang jasa anggota keselamatan yang berjuang untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, memberitahu sumbangan itu merupakan antara pendekatan terbaik yang diambil oleh kerajaan bagi mengenang jasa dan pengorbanan mereka.
“Pemberian sumbangan ini merupakan arahan Perdana Menteri yang dianggap sebagai insentif bagi membantu golongan itu meneruskan kehidupan.
“Kesemua penerima telah memberi sumbangan besar kepada negara dalam memelihara keamanan khususnya ketika zaman darurat pada tahun 1948 dan 1990.
“Mereka ini terdiri daripada anggota Home Guard, Special Constabel, Extra Police Constabel, Ordinary Police, Woman Special Constabel, Border Squad dan Jungle Squad,” katanya.
Di Perak sahaja, 6,588 pesara polis zaman darurat menerima sumbangan itu yang membabitkan kos keseluruhan bernilai lebih RM19 juta.
Menurut Zambry lagi, agihan tersebut akan dibuat oleh ketua polis di setiap daerah kepada pesara atau pun balu bekas polis sempena Sambutan Hari Polis ke 205.
Selain itu jelas beliau, kerajaan Perak juga telah bergerak selangkah ke hadapan dalam aspek menjaga kebajikan dan mengenang jasa pesara polis dan tentera.
“Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan penyediaan lot rumah kepada golongan tersebut dan perkara itu akan kita laksanakan.
“Perak adalah negeri pertama yang memperkenalkan projek seumpama itu yang bertujuan mengenang jasa mereka yang berkhidmat pada zaman yang sangat getir.
“Saya faham ada pihak mengatakan bahawa mungkin jumlah yang diperuntukkan itu tidak cukup kerana kita menyediakan 3,500 lot tanah untuk diserahkan kepada pesara polis dan tentera.
“Dengan kapasiti yang ada sekarang ini, kerajaan negeri akan cuba laksanakan projek ini berdasarkan kemampuan.
“Kita tidak akan menjanjikan sesuatu kepada rakyat jika tidak mampu menunaikannya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Polis ke 205 peringkat Negeri Perak pagi tadi.