Satu kumpulan yang mendakwa mereka terdiri daripada pelajar-pelajar
universiti telah berkumpul tanpa mendapat permit daripada Datuk Bandar
adalah merupakan satu kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kerajaan
Tempatan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 dan
mendirikan khemah atau apa jua barangan adalah kesalahan di bawah Akta
Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Kumpulan tersebut telah diberi nasihat dan amaran
oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) bahawa perbuatan berkenaan
adalah merupakan satu kesalahan. Di atas keingkaran mereka, DBKL telah
mengambil tindakan merampas barang-barang terdiri daripada khemah, kain
rentang dan lain-lain peralatan yang berada di lokasi tersebut pada
tarikh 15 April 2012.
Walaupun tindakan diambil oleh pihak DBKL dan
usaha memujuk telah dilakukan kumpulan tersebut masih terus berada di
Dataran Merdeka sehingga 21 April 2012. Pada 21 April 2012 jam 5.15
petang, pihak DBKL telah sekali lagi menasihati mereka untuk
mengosongkan tapak di Dataran Merdeka bagi memberi laluan kepada ambulan
Di Raja dan ambulan-ambulan yang diarah bertugas sempena Konsert Diraja
pada malam 21 April 2012.
Memandangkan mereka enggan berpindah, pihak penguatkuasa DBKL telah
merampas barangan mereka seperti khemah, kain rentang dan lain-lain dan
barangan tersebut diletakkan di dalam lori penguatkuasa yang berada di
kawasan berhampiran di mana barangan tersebut telah disenaraikan secara
lengkap oleh pihak DBKL.
Ketua kumpulan tersebut iaitu Encik Mohd Fahmi
Reza bin Mohd Zain telah muncul menuntut supaya barang-barang berkenaan
dipulangkan iaitu kira-kira jam 1.15pagi, 22 April 2012. Berikutan
tuntuan beliau, pihak penguatkuasa DBKL telah mengemukakan notis
kesalahan dan tawaran kompaun di atas kesalahan meletakkan barang-barang
tanpa kebenaran di tempat awam.
Encik fahmi telah menandatangani borang
akuan tindakan dan barang-barang kepunyaan mereka telah dikembalikan
oleh pihak DBKL. Beliau juga telah diberi maklum agar tidak berkumpul
dan meletakkan barang-barang berkenaan sekali lagi atau akan berhadapan
dengan tindakan DBKL.
Pada 22 April 2012 jam 8.00 pagi, pegawai
penguatkuasa DBKL yang bertugas di kawasan Dataran Merdeka mendapati
masih terdapat perhimpunan di kawasan tersebut di mana 16 khemah telah
didirikan semula.
Selaras dengan amaran yang telah diberikan oleh DBKL,
sekali lagi tindakan merampas barangan yang terletak di Encik Mohd Fahmi
kerana beliau didapati masih berada di dalam khemah di Dataran Merdeka
pada pagi tersebut. Beliau telah diiringi oleh pegawai-pegawai
penguatkuasa DBKL untuk ke Balai Polis Jalan Dang Wangi untuk membuat
laporan kepada pihak polis terhadap DBKL.
Semasa Encik Mohd Fahmi diiringi ke kenderaan DBKL iaitu sebelum
perjalanan ke balai, seorang awam yang dikenali sebagai Encik Umar bin
Mohamad Azmi telah melakukan halangan terhadap tinndakan penguatkuasa
untuk membawa Encik Mohd Fahmi ke balai polis. Beliau juga ditangkap
oleh penguatkuasa DBKL kerana telah menghalang penjawat awam melakukan
tugas.
Dua laporan polis telah dikemukakan oleh DBKL kepada Balai Polis Jalan Dang Wangi iaitu :
1.
Kes En Mohd Fahmi di atas kesalahan masih berkhemah di Dataran Merdeka
walaupun notis telah diberikan kepada beliau agar tidak melakukan
perkara sedemikian.
2. Kes Encik Mohd Fahmi di atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas
Pihak
DBKL sedang menyediakan kertas siasatan untuk diperakukan oleh Timbalan
Pendakwaraya. Kes Encik Mohd Fahmi akan dibuat oleh DBKL setelah
mendapat keizinan daripada Timbalan Pendakwaraya. Manakala kes
Encik Umar berada di dalam siasatan pihak polis.
TAN SRI AHMAD FUAD BIN ISMAL
DATUK BANDAR KUALA LUMPUR
23 APRIL 2012