KUALA LUMPUR – Perbincangan meja bulat mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) – Pergerakan Pemuda parti teras Barisan Nasional (BN) mahu orang ramai melihat isu itu "dengan lebih rasional."
Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata, orang ramai perlu melihat isu ini dengan lebih rasional kerana kerajaan tidak mahu membuat janji manis seperti pembangkang.
"Pembangkang kata mereka boleh hapus RM43 bilion tetapi perlu diingat kesannya kepada 87 peratus peminjam yang sudah membuat pembayaran balik itu, bagaimana mahu dikira?
"Kerajaan tidak membuat janji seperti pembangkang kerana memikirkan implikasi yang akan berlaku di masa akan datang, bukan hanya memberi janji pilihan raya, kita mahu cari cara yang terbaik selesai isu ini," kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Rundingan Meja Bulat Mahasiswa Nasional 2012 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, Pemuda Umno tidak ambil mudah isu PTPTN walaupun hanya 17 peratus yang masih gagal membuat pembayaran balik.
Razali berkata, isu PTPTN ini bukan perkara baru tetapi ia telah dibangkitkan Pemuda dan pernah dibincangkan dalam Makmal Pemuda.
"Kita buat rundingan meja bulat PTPTN ini bukan sebab isu ini dibangkitkan pembangkang tetapi Pemuda mahu cari resolusi bagi membantu baki 17 peratus yang masih belum bayar.
"Kita mahu bersikap adil dengan 83 peratus lagi peminjam yang taat melunaskan hutang mereka. Sehubungan itu kita adakan rundingan meja bulat ini untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik," katanya.
Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron; Setiausaha Pemuda BN Datuk Megat Firdaus Megat Junid; Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pemuda Umno, Syahrin Md Jamaluddin dan Pengurus Kanan Pelaburan PTPTN, Tuan Din Tuan Mat.
Link video Ucapan Oleh YB Dato Razali Bin Hj Ibrahim di http://bit.ly/HEK4Lr
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.