Jumaat, 25 Mei 2012

PAS Dan PKR Perlu Beri Kenyataan Rasmi

Published On: Fri, May 25th, 2012


“Kita mahu PAS nyatakan pendirian rasmi mengenai kenyataan Karpal Singh”.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencabar PAS dan PKR untuk menyatakan pendirian mereka terhadap cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang ingin terus memperjuangkan bukan Melayu sebagai Perdana Menteri suatu hari nanti.

Beliau menambah, kepimpinan kedua-dua parti terbabit perlu menyatakan sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan tindakan Karpal itu yang masih ingin mempertahankan niat DAP untuk meletakkan bukan Melayu sebagai pemimpin nombor satu negara.

“Pendirian kedua-dua dua parti itu penting terutama PAS yang kononnya memperjuangkan Islam… adakah mereka akan akur dengan cadangan Karpal itu atau menentang, sebab itu kita mahu mereka nyatakan pendirian rasmi.

“Cadangan Karpal itu boleh dianggap sebagai pandangan rasmi DAP berdasarkan kepada jawatannya dalam parti pembangkang itu,” katanya.

Tambah Zahid lagi, sekiranya benar Karpal bertegas untuk terus memperjuangkan hasratnya, maka ia perlu mendapat respon yang rasmi daripada Parti Islam Semalaysia (PAS).

Katanya lagi, rakyat perlu tahu sama ada cadangan yang dilontarkan oleh Karpal secara rasmi itu turut akan menjadi pendirian PAS dan PKR.

“Kita mahu mereka menyatakan pendiriannya walaupun dalam Perlembagaan negara tidak menyebut soal bangsa dalam menentukan jawatan Perdana Menteri, tetapi secara konvensyen perkara ini telah dipersetujui.

“Kita harap PAS yang memperjuangkan Islam kononnya supaya jangan berdolak dalih lagi dalam isu ini sebagaimana mereka berdolak dalih dan bercanggah pendapat dalam soal muzakarah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) Parlimen Bagan Datoh di sini, hari ini.