Ahad, 27 Mei 2012

Perjanjian PAAB LAP lupus hutang RM999.2 juta

Perjanjian Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air yang dimeterai antara kerajaan Perak dengan Kerajaan Persekutuan, Rabu lalu melupuskan hutang Lembaga Air Perak (LAP) yang berjumlah RM999.2 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata mengikut terma perjanjian bagi tempoh 45 tahun itu, semua hutang air LAP dipindahkan kepada kerajaan Persekutuan bagi tujuan pengurusan air.

“Secara teknikalnya, hutang LAP berjumlah RM999.2 juta kepada kerajaan Persekutuan kini tiada lagi dan kita hanya menyerahkan sebahagian aset yang sama nilai dengan hutang.

“Selepas tempoh 45 tahun, aset LAP akan dipulangkan semula kepada kerajaan negeri dan terma perjanjian ini dibuat berdasarkan kepada nilai hutang dan bukan aset keseluruhan yang dimiliki,” katanya kepada pemberita selepas melawat warga Kampung Sungai Wangi dan Kampung Baharu, dekat Sitiawan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perjanjian tersebut, Zambry yang juga Pengerusi LAP berkata, pengambil alihan hutang itu sekaligus berjaya meningkatkan keuntungan LAP.

“Keuntungan serta kedudukan kewangan LAP tidak akan terganggu malah LAP kini memiliki rizab dan tunai bernilai RM2.348 billion,” jelasnya.

Di bawah perjanjian itu juga sebahagian aset yang dipindahkan itu akan diserahkan kembali selepas 45 tahun tempoh bayaran balik kepada PAAB.

“Hutang ini juga tidak perlu dibayar balik dan migrasi aset hanya berdasarkan nilai hutang RM 999.2 juta dan bukan jumlah keseluruhan aset yang dimiliki LAP,” katanya.

Zambry berkata, perjanjian yang dimeterai oleh negeri Perak tidak sama dengan negeri lain kerana ada yang bertindak memindahkan secara keseluruhan aset air mereka kepada PAAB.

“Kita memindahkan aset mengikut nilai hutang dan ketika ini, LAP mempunyai aset tetap berjumlah RM400 juta,” katanya.

Dianggap sebagai ‘tough negotiator,” Zambry berkata, beliau hanya ingin memastikan kerajaan dan rakyat Perak mendapat yang terbaik melalui perjanjian dengan PAAB itu.


PERAK TODAY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan