KUALA LUMPUR, 8 Mei 2012 - Majlis Peguam menerima tamparan apabila
seorang peguam, Ranjit Singh Dhillon, dari J Kaur, Ranjit &
Associates mempertikaikan badan professional guaman itu yang didakwa
menyembunyikan fakta bahawa peserta perhimpunan BERSIH 3.0 telah
memasuki kawasan larangan justeru melanggar perintah mahkamah.
Dalam satu rakaman video di youtube selama 7.27 minit, peguam tersebut
memberikan pandangan beliau secara professional dan bebas mengenai
rusuhan sewaktu perhimpunan BERSIH 3.0 (www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=69dLDyVJFWA)
Beliau nyata hairan dengan sikap Majlis Peguam yang sepatutnya bertindak
sebagai badan professional yang bebas, selaras dengan Akta Profesion
Undang-Undang 1976, namun tidak berbuat demikian.
Ranjit turut mempersoalkan badan professional guaman itu yang tidak
mengambil pendekatan menghubungi semua pihak dan agensi yang terlibat
sebelum menerbitkan satu laporan terperinci dalam isu rusuhan sewaktu
perhimpunan BERSIH 3.0
Sebelum itu, Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata tindakan pihak
polis ke atas peserta perhimpunan Bersih 3.0 diperhatikan "lebih ganas"
berbanding ketika menangani perhimpunan sebelum ini.
Perkara yang dibangkitkan itu merupakan antara kandungan laporan awal
badan itu, berdasarkan pemerhatian ke atas perjalanan perhimpunan.
Ranjit turut mempersoalkan sikap dan tindakan Presiden Majlis Peguam itu
yang dilihat seolah-olah mewakili pemimpin dan parti-parti pembangkang,
dan tidak lagi dilihat sebagai sebuah badan profesional yang bebas dan
non partisan.
Beliau yang kesal menyatakan mukasurat 26 laporan awal badan itu
menyebut peserta perhimpunan BERSIH 3.0 telah melakukan provokasi
terhadap pihak polis, sekaligus membidas Lim Chee Wee yang membisu
mengapa tidak disebutkan siapa sebenarnya yang mencetuskan keganasan
pada perhimpunan itu.
"Adakah kita layak digelar professional, adakah kita layak bergelar peguam," kata Ranjit.
Beliau mengulas laporan awal tersebut sebagai tidak melihat secara
keseluruhan apa yang didakwanya hadangan pihak berkuasa telah dipecahkan
oleh perusuh. Menurutnya lagi apabila peserta melangkaui hadangan oleh
pihak berkuasa, maka ia dikatakan sebagai melanggar perintah mahkamah.
Peguam itu turut mendakwa pihak polis tidak melakukan apa-apa terhadap
perusuh setelah mereka merempuh hadangan sejauh 50 meter sehingga
menyebabkan ketegangan dan harta awam dirosakkan.
"Apa yang anda jangka pihak berkuasa akan lakukan setelah perusuh memasuki kawasan larangan," soal Ranjit.
Beliau turut melontarkan soalan kepada presiden badan itu "Adakah kita
yang bernaung dibawah badan guaman ini secara jujur mahu mengakui memang
terdapat mereka yang mengambil kesempatan atas kejadian tersebut.
Peguam itu sekali lagi mempersoalkan perhimpunan yang sepatutnya
dianggotai oleh gabungan badan-badan NGO ini tidak memerlukan
campurtangan dan menjadi alat bagi mana-mana parti politik.
Ranjit turut mendakwa pihak penganjur telah gagal mengawal keadaan
apabila perusuh mula memasuki kawasan larangan dan melanggar perintah
mahkamah. Beliau juga mempersoalkan mengapa salah satu perkara berkait
rapat dengan undang-undang tidak digunakan dalam menyediakan laporan
awal kejadian rusuhan itu.
"Secara jujur saya katakan telah ada perintah bertulis, kawasan dan zon
larangan telah dibentangkan dan pihak penganjur juga telah bersetuju
dengan syarat-syarat perhimpunan. Mengapa apabila peserta merempuh
hadangan ini Majlis Peguam hanya membisu," kata peguam itu.
Beliau turut menyalahkan pihak penganjur BERSIH 3.0 kerana tidak
menerima tawaran awal Stadium Merdeka untuk diadakan perhimpunan malah
menukar pada saat-saat akhir kepada Dataran Merdeka.
"Pihak berkuasa telah menawarkan Stadium Merdeka kepada penganjur. Pihak
berkuasa juga telah memberikan kerjasama, berbincang, mengadakan
dialog, terma dan syarat telah diberikan.
"Namun masih ada pihak yang masih berdegil dan melanggar perintah
mahkamah. Beritahu saya, adakah anda mendapat kebebasan mutlak dalam
mana-mana negara-negara Asia, apatah lagi dunia.
Peguam itu sekali lagi membidas Majlis Peguam kerana menyorokkan
maklumat pada mukasurat 26 laporan awal badan itu yang menyebut peserta
perhimpunan BERSIH 3.0 telah melakukan provokasi terhadap pihak polis
terlebih dahulu.
"Badan ini bukan parti politik, semua perlu ingat perkara ini. Sila
perjelaskan siapa dan apa sebenarnya yang anda mahu pertahankan." soal
beliau kepada Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee.