Selasa, 8 Mei 2012

Universiti Bebas Tentukan Hukuman

Soal tindakan terhadap mahasiswa yang melanggar undang-undang ketika Perhimpunan Bersih 28 April lalu terserah kepada budi bicara pihak polis serta universiti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu pihak universiti bebas mengenakan apa-apa tindakan terhadap pelajar terbabit sekiranya mendapati tindakan yang mereka lakukan telah menjejaskan nama baik dan reputasi institusi berkenaan.

“Saya percaya apabila pelajar itu ditahan maka tentulah pihak polis mempunyai asas untuk melakukan demikian, namun, apa yang akan berlaku lepas ini bergantung kepada universiti untuk tentukan sama ada pelajar yang berkaitan itu dirasakan telah melakukan tindakan yang menjejaskan nama baik dan reputasi universiti atau tidak.

“Ia terserah kepada institusi tersebut bagaimana pun sebarang tindakan yang dikenakan sudah tentulah ada perbezaan mengikut kes…. ada perbezaan tindakan oleh universiti antara satu kes dengan kes-kes yang lain, ia bergantung kepada tahap kesalahan yang pelajar itu lakukan,” katanya.
Khalid berkata demikian sebagai mengulas penglibatan mahasiswa dalam insiden rusuhan pada Perhimpunan Bersih 3.0 lalu.

Jelas beliau lagi, kerajaan telah berkali-kali menegaskan bahawa apa sahaja yang dilakukan oleh pelajar di luar kampus maka golongan itu perlu mengikuti segala undang-undang negara.

Malah, golongan itu tidak akan terkecuali dari dikenakan tindakan tegas sekiranya melakukan perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang.

“Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah menyatakan bahawa soal nak berhimpun dan sebagainya bukanlah sesuatu yang salah melainkan jika mereka melanggar apa-apa undang-undang.

“Soal berhimpun dan berkumpul adalah sesuatu yang kita benarkan tetapi janganlah sampai melakukan perkara yang boleh menjejaskan undang-undang dan sekaligus menggugat keselamatan orang lain,”katanya lagi.

Terdahulu, seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khalid Mohd Ismith, 22 tahun merupakan antara 91 individu yang diburu oleh pihak polis.

Pelajar jurusan undang-undang itu berjaya ditahan dan kemudiannya dilepaskan atas jaminan polis.