Selasa, 19 Jun 2012

ISU Lori Pasir Selesai



Kerajaan negeri mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri untuk berbincang secara baik dengan pemandu dan pengusaha lori pasir yang telah melakukan protes di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kedua-dua pihak perlu berbincang secara terus dan pendekatan itu adalah yang terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut berikutan arahan baru dikeluarkan PTG.

“Secara keseluruhannya saya dimaklumkan bahawa pengusaha lori bersetuju dengan arahan itu termasuk menghadkan penggunaan lori 14 tayar untuk mengangkut bahan mineral itu.

“Kita bukan suka-suka membuat arahan tersebut… ia dilaksanakan setelah menerima pelbagai aduan daripada masyarakat selain memikirkan kesan jangka panjang penjualan pasir serta masalah curi pasir yang dilihat turut memberi kesan pada ekonomi.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam soal yang melibatkan keselamatan orang ramai dengan keluar masuk lori di kawasan kampung sehingga merosakkan jalan selain muatan berlebihan,” katanya. Malah jelas Zambry, pengusaha pasir perlu faham dan mengambil kira kedudukan kerajaan negeri untuk jangka masa panjang kerana pasir tidak boleh diganti.

Setakat ini katanya, kesemua pengusaha lori pasir yang terlibat dalam protes terbabit telah bersetuju dengan semua cadangan termasuk menggunakan lori 14 tayar berbanding 22 tayar sebelum ini untuk mengangkut pasir.

Bagaimanapun menurut Zambry, kerajaan negeri faham dengan perlaksanaan arahan di kalangan pengusaha berikutan ia mengambil masa sementara kontrak membekalkan diteruskan. “Situasi menang-menang (win-win situation) dapat dicapai setelah perbincangan dilakukan oleh agensi yang terlibat untuk selesaikan pelbagai perkara berbangkit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Serbaguna, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh, hari ini. Semalam,

Peraktoday.com melaporkan kira-kira 300 pemandu lori mengadakan protes terhadap arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri yang melarang lori-lori 60-70 tan mengambil pasir di negeri itu di tempat letak kereta R&R Tapah, semalam.