Jumaat, 29 Jun 2012

Karnival Motosikal di Stadium Nasional Bukit Jalil esok



PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menganjurkan program 2Wheels Palooza 2012 atau Karnival Motosikal selama dua hari mulai esok di pekarangan parkir A dan B Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kenyataan KBS menyebut karnival itu merupakan acara perhimpunan tahunan terbesar yang menggabungkan pelbagai aktiviti sukan permotoran, perhimpunan kelab permotoran, pertandingan autoshow motosikal, pertandingan sukan ekstrem dan sebagainya.

Objektif penganjuran karnival itu ialah memberi kesedaran kepada komuniti belia berhubung keburukan lumba haram, penyalahgunaan dadah dan masalah gejala sosial, selain menyediakan program alternatif kepada mereka untuk menunjukkan bakat serta kemahiran dalam suasana terkawal, sistematik dan selamat.

Turut diadakan ialah pameran Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Bomba.

Penyertaan dalam aktiviti karnival terbuka kepada semua tetapi perlu melepasi syarat yang ditetapkan penganjur dan pelbagai hadiah disediakan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM80,000 beserta trofi. - Bernama