Penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) adalah idea unik yang diperkenalkan Perdana Menteri agar rakyat jelata dapat berkongsi kemakmuran yang sebelum ini dinikmati secara eksklusif oleh warga peneroka dan kakitangan Felda sahaja.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata melalui penyenaraian itu, tanah ladang seluas 350,000 hektar akan disewa kepada FGVH mengikut formula jangka panjang.
“Tanah Felda ini tidak akan hilang sebaliknya hanya disewakan kepada FGVH bagi menghasilkan keuntungan yang dijangka mencecah berbelas bilion.
“Jika sebelum ini kemakmuran Felda hanya dinikmati oleh warga peneroka, generasi kedua serta pekerja Felda, kini kerajaan mahu seluruh rakyat di luar sana turut berkongsi kemakmuran ini dengan menyenaraikan FGVH di Bursa Saham Kuala Lumpur.
“Penyenaraian ini merupakan yang terbesar di Asia tahun ini dan kedua terbesar di dunia selepas Facebook,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.
Terdahulu, Ahmad menyampaikan ceramah berkaitan Gagasan 1Malaysia di Institut Tadbiran Islam Malaysia (INTIM) yang dihadiri kira-kira 200 peserta dari seluruh negeri Perak.
Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan prospektus Tawaran Awam Permulaan (IPO) FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, FELDA daripada organisasi domestik kini beralih kepada pelaku global yang berjaya.
“Penyenaraian ini mencatatkan dua detik bersejarah kepada negara dan FELDA iaitu ia adalah yang terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di dunia selepas Facebook untuk tahun ini,” katanya.
Berdasarkan petunjuk harga IPO FGVH dengan unjuran RM10.5 bilion, ia adalah terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di dunia, tahun ini.
FGVH yang akan disenaraikan pada 28 Jun depan dijangka menjana pasaran modal berjumlah RM18 bilion.
Berdasarkan prospektus IPO FGVH, ia menawarkan 2.19 bilion saham yang mana 1.92 bilion saham ditawarkan untuk langganan pelabur institusi dan pelabur institusi Bumiputera, manakala 273.61 juta saham ditawarkan kepada pelabur awam, pengarah yang layak dan kakitangan FGVH. PERAK TODAY