Jumaat, 6 Julai 2012
Benarkan motosikal 600cc guna laluan biasa
DI negara kita, banyak laluan motosikal yang disediakan sekadar ‘siap’ sahaja. Keadaan jalan berlubang di sana-sini, air mengalir dari longkang, tampalan tidak sempurna, turapan kurang baik, jalan tidak rata, berbonggol, tidak diselenggara dengan baik selain laluan sempit.
Keadaan ini bukan sahaja membahayakan pengguna, malah memberi kesan kepada kenderaan terutama kenderaan dalam kelas ‘superbike’. Suspensi motosikal jenis ini tidak sama seperti motosikal biasa. Ia direka khas untuk laluan rata agar pengawalan mudah dilakukan.
Selain berat, motosikal berkuasa 600cc ini berharga dari puluhan ribu malahan ratusan ribu ringgit. Menyentuh tentang harga, sudah tentu ia perlu dihargai.
Sehubungan itu, mohon pihak berkuasa memberi kelonggaran untuk motosikal jenis ini menggunakan laluan jalan raya biasa dengan mengambil kira faktor kesesuaian dan harganya.
Namun, andainya pihak berwajib menyediakan laluan motosikal yang mempunyai tahap piawaian sebuah jalan raya sebenar, kami tidak teragak-agak menggunakannya.
SAZALI SB
Sungai Besi, Kuala Lumpur