Tidak berapa lama dulu Kulim Hi-Tech Industrial Park (KHTP) di
Kedah pernah di timpa dengan masalah bekalan air bersih yang pada
peringkat awalnya menyebabkan banyak pelabur menanggung kerugian kerana
terpaksa menghentikan operasi kilang mereka secara berkala.
Apabila
masalah bekalan air bersih masih berterusan disebabkan sikap sambil
lewa kerajaan PAS Kedah, akhirnya para pelabur mengambil keputusan
drastik menutup operasi masing-masing menyebabkan beratus-ratus pekerja
hilang mata pencarian.
Sedangkan sejak KHTP dibangunkan pada
1996, sekurang-kurangnya RM23 bilion nilai pelaburan asing berjaya
dibawa masuk sekaligus membantu meningkatkan aktiviti ekonomi negeri dan
rakyat.
Namun setelah pembangkang (PAS) mengambil alih kerajaan
negeri, kawasan industri tersebut mula layu disebabkan ketidak mampuan
kerajaan negeri mengurus tadbir dengan baik termasuklah gagal
menyelenggara bekalan air untuk kegunaan kilang-kilang di kawasan
tersebut.
Semacam sudah menjadi badi di kalangan pemimpin Pakatan
Pembangkang apabila diberi peluang memerintah negeri, mereka akan
menjadi seperti 'tikus membaiki labu', mengubah itu ini sesuka hati
konon atas sebab untuk penjimatan atau tambah baik perkhidmatan, tapi
akhirnya bukan kebaikan yang diperolehi sebaliknya banyak mengundang
bala dan menjahanamkan.
Apa yang terjadi di KHTP tidak mustahil
bakal berulang di Selangor kerana polisi dan dasar kerajaan negeri
Selangor hampir sama dengan kerajaan Kedah - gemar mengubah perancangan
asal pembangunan kemudian banyak beretorik bermain politik tanpa
mengambil kira kesannya pada rakyat dan ekonomi.
Apabila MB
Selangor, Khalid Ibrahim dari PKR secara rasmi dua tahun lalu menolak
pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (langat 2) dengan
alasan untuk penstrukturkan semula bekalan air bersih, kesan negatifnya
kini sedikit demi sedikit mula terasa.
Para pelabur mula
menjauhkan diri, yang mana sudah bersetuju sebelum ini untuk membina
kilang operasi mereka, kini masing-masing mengambil keputusan samada
membatalkan atau menangguh kan dulu pelaburan kerana ragu dengan sistem
bekalan air di negeri ini.
Angka terkini menunjukkan Selangor
telah kehilangan sekurang-kurangnya 138 syarikat swasta dan pelabur
asing dengan nilai pelaburan berbilion RM dan sepatutnya mampu
menawarkan peluang pekerjaan kepada 12,000 orang.
Mudah untuk
Khalid Ibrahim ataupun pemimpin pakatan pembangkang yang lain berkata
projek Langat 2 atas alasan bekalan air mentah mencukupi sehingga tahun
2019.
Tapi, kilang mana yang sanggup menggunakan bekalan air mentah dari lombong atau sungai untuk menjalankan operasi kilang mereka?
Isu
sekarang bukannya soal air mentah masih memenuhi empangan atau sungai,
sebaliknya isu sekarang ialah bekalan air bersih yang telah dirawat
untuk kegunaan rakyat dan kilang-kilang.
projek Langat 2 bukan
sekadar tambahan satu loji baru yang akan meningkatkan kapasiti
pengeluaran air bersih untuk disalurkan kepada pengguna di seluruh
Lembah Klang, ia juga satu perancangan jangka masa panjang yang berkait
rapat dengan kehidupan rakyat dan pembangunan ekonomi Selangor.
Tapi, perkara sebegini sukar difahami oleh pemimpin-pemimpin negeri yang lebih selesa beretorik mencipta polemik politik.
Mereka
hanya nampak banyak air di empangan tapi gagal memahami isu asas yakni
sebahagian besar loji rawatan air sudah beroperasi melampaui kemampuan
sebenar. Mahu tidak mahu, loji rawatan air yang baru tetap diperlukan
dan penyelesaian jangka masa panjangnya ialah Langat 2.
Namun
disebabkan Khalid Ibrahim terasa terlebih cerdik, tanpa berfikir panjang
ditolaknya pembangunan loji rawatan air yang baru di Sungai Langat. Dua
tahun berdolak dalik gagal mencari penyelesaian, masuk angin keluar
asap.
Kesannya nanti sekiranya krisis air mula meluas ke seluruh
Lembah Klang, bukan sahaja ekonomi Selangor akan jahanam, silap-silap
pelabur asing pun akan menjauhi Malaysia.