|
Sebahagian daripada 40 rumah bantuan Maidam dan Affin Islamic Bank bernilai RM2 juta di Kampung Padang Nenas, Kuala Terengganu.
|
Ini lah usaha yang diambil oleh kerajaan Barisan Nasional di Terengganu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang miskin . Di Kelantan, apa usaha yang dilakukan oleh Nik Aziz?
Ketibaan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini menjadi lebih bererti bagi keluarga Mohd. Rifin Hassan di Pengkalan Maras, Mengabang Telipot dekat sini.
Ini kerana, Mohd. Rifin dan keluarganya bakal melangkah ke rumah baru hasil bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Affin Islamic Bank Bhd. (Affin Islamic).
Bagi Mohd. Rifin, 49, dan isterinya, Che Kembang Mamat, 39, inilah kali pertama mereka tinggal di rumah sebenar sejak berumah tangga kerana rumah yang didiami selama ini bagaikan sebuah bangsal kerana terlalu daif.
"Sambutan Aidilfitri kali ini sangat berbeza buat saya dan anak-anak kerana dapat berhari raya di rumah baru dan kami amat bersyukur kepada semua yang membantu, apatah lagi sewanya cuma RM50 sebulan," ujar Mohd. Rifin ketika ditemui di rumah baru di kampung Padang Nenas, di sini semalam.
Keluarga itu merupakan antara 40 keluarga yang menerima rumah tersebut yang disumbangkan oleh kerajaan negeri hasil kerjasama Affin Islamic dan Maidam menerusi projek bernilai kira-kira RM2 juta.
Penyerahan kunci rumah itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sempena majlis berbuka puasa dan pengagihan zakat kepada para penduduk setempat baru-baru ini.
Sementara itu, Che Kembang berkata, setiap kali tibanya Ramadan dan Aidilfitri, dia sedih kerana tidak mampu menyediakan kediaman sempurna buat enam anaknya yang kini berusia dua hingga 22 tahun serta adik perempuannya yang bisu.
"Memandangkan suami bekerja sebagai pemandu bot dengan pendapatan tidak seberapa dan tidak mampu menampung perbelanjaan kami sekeluarga, jadi kami tidak pernah merungut dengan kesusahan itu.
"Bayangkan jika mahu ke bilik air, anak lelaki akan ke masjid berhampiran atau tepi pantai manakala bagi yang perempuan, mereka akan ke rumah jiran.
"Bahkan, untuk memperoleh bekalan elektrik, kami terpaksa menyambung punca bekalan itu dari rumah berhampiran," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil berkata, setakat ini institusi perbankan tersebut sudah menyumbang lebih 300 unit rumah di seluruh negara bagi membantu meringan beban keluarga miskin.
"Melalui sumbangan ini, kami berharap dapat membantu golongan kurang bernasib baik dengan harapan satu masa nanti mereka pula akan menyumbang dan memberi balik kepada masyarakat," katanya.
Menurutnya, dengan tempat perlindungan yang dilengkapi kemudahan asas itu penduduk terlibat akan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
Pada tahun ini juga, katanya, Affin Islamic memperuntukkan kira-kira RM6 juta dari dana zakat untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang layak.