Selasa, 25 September 2012
Dato Onn Jaafar sudah tahu bahaya Pas dari awal lagi
SEJARAH PENUBUHAN PAS.Penubuhan PAS secara rasminya ialah pada 24 November 1951. walaupun begitu, pergerakan yang mencetuskan tertubuhnya PAS sebenarnya telah bermula jauh lebih awal iaitu sejak bermulanya pergerakan reformasi Islam di Tanah Melayu.
Pergerakan reformasi ini merupakan rentetan dari reformasi di Timur Tengah, khususnya di Mesir, yang dipelopori oleh Muhammad Abduh pada akhir abad Kesembilan Belas. Ianya telah menjalar ke Tanah Melayu di mana Syed Sheikh Al-Hadi telah menyebarkan pengaruh reformasi ini melalui majalah Al-Imam (1906-1908) dan akhbar Al-Ikhwan(1926-1931).
Pergerakan reformasi ini begitu berpengaruh dalam masyarakat Melayu sehingga ianya meresapi parti politik Melayu yang pertama iaitu Partai Kebangsaan Melayu Se Malaya atau lebih dikenali sebagai MNP yang diasas pada bulan Oktober 1945.
Menyedari peri-pentingnya pengaruh ini, MNP seterusnya telah menubuhkan sayap atau bahagian Islam dalam struktur organisasinya. Sayap atau bahagian Islam dalam MNP inilah yang bertanggung-jawab melahirkan MATA (Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya) yang darinya wujud Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol pada 14 Mac 1948.
Riwayat Hizbul Muslimin bagaimana pun tidak lama. Hasil dari desakan Dato' Onn Jaafar, yang ketika itu memimpin UMNO, Inggeris telah mengisytiharkan pengharaman Hizbul Muslimin menangkap pemimpin- pemimpinnya. Hizbul Muslimin telah disebut oleh Dato' Onn sebagai Red Islamic Party yakni cuba menyamakannya dengan pengaruh komunis yang merbahaya. Beliau juga telah menyebut penubuhan Hizbul Muslimin sebagai "Bahaya Dari Gunung" kerana penubuhannya yang bertempat di Gunung Semanggol Perak.
Walaupun aktiviti Hizbul Muslimin terhenti apabila bermula Darurat pada bulan Jun 1948, semangat perjuangan yang kental di kalangan pendukung- pendukungnya akhirnya telah merintis kepada penubuhan
PAS pada 24 November 1951.
Sumber FB