Menurut Timbalan Presidennya, Chow Siew Hong, perhimpunan tersebut perlu diadakan kerana terdapat usaha dari Jabatan Pendidikan untuk memanipulasi perlantikan lembaga pengarah melalui penolakan pendaftaran jawatankuasa di SJKC Jinjang Utara, dengan tujuan untuk mengawal Dong Zong.
Bagaimanapun, pihak Jabatan menjelaskan bahawa pendaftaran jawatankuasa tersebut telah ditolak kerana Presiden Dong Zong, Yap Sin Tian serta Siew Hong sendiri gagal menepati syarat iaitu melantik tiga ahli dari badan yang berkaitan dengan sekolah tersebut, seperti pihak alumni dan PIBG.
Walaupun masalah ini adalah masalah teknikal yang berpunca dari pihak mereka, tetapi seperti biasa, Dong Zong cuba menimbulkan prasangka buruk terhadap kerajaan. Sedangkan, hakikat sebenarnya ialah kedua-dua Sin Tian dan Siew Hong takut kehilangan jawatan dan tidak dapat bertanding dalam pemilihan Dong Zong yang akan datang apabila pendaftaran tersebut ditolak.
Namun begitu, pengumuman rasmi mengenai perhimpunan 926 tersebut tidak menyebut mengenai masalah lembaga pengarah atau jawatan mereka secara spesifik sebaliknya menonjolkan isu pendidikan Cina secara umum dengan membawa slogan 'Save Chinese Education Campaign' atau Selamatkan Pendidikan Cina.
Antara yang menjadi asas 'perjuangan' ini selain masalah di SJKC Jinjang Utara, ialah isu lama yang telah pun ditangani dan dijawab oleh kerajaan iaitu berkenaan kekurangan guru dengan latarbelakang pendidikan Cina dan sekolah persendirian Cina di Kuantan.
Di masa yang sama, Dong Zong juga menjadikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong sebagai sasaran dalam perhimpunan ini dan menuntut beliau meletakkan jawatan seolah-olah terdapat isu peribadi antara Dong Zong dengan beliau. Mungkin puak ektremis ini menganggap pemimpin berbangsa Cina yang menjunjung semangat jati Malaysia seperti Datuk Wee Ka Siong atau Chua Soi Lek, sebagai mengkhianati kaum Cina.
Di celah-celah itu, terdapat juga usaha dari satu pihak lain yang bercadang untuk memprotes tindakan Dong Zong untuk membuat perhimpunan dan membela Datuk Wee. Alasan kumpulan ini, fakta dan angka telah membuktikan bahawa Datuk Wee, dan juga Soi Lek telah banyak berjasa kepada pendidikan Cina. Fakta dan angka ini adalah benar dan tidak mungkin dapat dinafikan oleh sesiapa.
Namun, sebagai pemimpin yang rasional dan bertanggungjawab, Datuk Wee ataupun Soi Lek pastinya sentiasa memastikan bahawa jasa yang disumbangkan untuk pendidikan dan kaum Cina tidak seharusnya memaksa mereka mengabaikan hakikat kemajmukan dan jati diri negara Malaysia. Kepentingan Malaysia secara kesuluruhan wajib didahulukan dari kepentingan satu kaum sahaja, iaitu Cina. Selain itu, perjuangan membela kaum Cina seharusnya berlandaskan jalan yang benar dan tidak harus sampai menidakkan atau menukar sejarah serta mengenepikan perlembagaan.
Mungkin pendirian sebeginilah yang membuatkan Dong Zong begitu 'geram' dengan mereka kerana prinsip Dong Zong adalah kaum Cina wajib didahulukan dan kepentingan mereka mesti diletakkan lebih tinggi dari kaum-kaum lain.
Melihat dari apa yang telah kerajaan sumbangkan kepada pendidikan Cina serta sikap tolak ansur kaum majoriti negara ini yang sanggup membenarkan sekolah vernakular diteruskan menyebabkan slogan 'Selamatkan Pendidikan Cina' kedengarannya begitu lucu sekali.
Mana tidaknya, apabila Sekolah Vernakular tetap dijamin selamat oleh kerajaan walaupun kewujudannya jelas menjamin perpecahan yang berkekalan di kalangan rakyat Malaysia. Hakikatnya, Sekolah Cina, Bahasa Cina dan kaum Cina tidak pernah terancam di Malaysia. Tetapi Sekolah Cina yang sebenarnya mengancam kedudukan Bahasa Kebangsaan, perpaduan, kestabilan dan keamanan negara ini.
Oleh itu, slogan yang sepatutnya dilaungkan ialah, 'Selamatkan Malaysia dari Pendidikan Cina' kerana ia menjadi punca jurang perkauman menjadi semakin besar. Ini terbukti apabila akhir-akhir ini anak-anak Cina tidak lagi menghormati kaum dan agama lain sehingga sanggup secara terbuka mencemuh dan menghina kaum dan agama lain melalui laman-laman sosial termasuklah youtube.
Jika ada pun yang perlu Dong Zong selamatkan melalui perhimpunan tersebut, hanyalah kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden mereka yang menghadapi risiko tidak dapat bertanding lagi. Atau, mungkinkah inilah tujuan sebenar perhimpunan tersebut? Iaitu kedua-dua mereka ingin meraih sokongan melalui publisiti, menjadi hero dengan mencabar Timbalan Menteri?
Hari ini, produk dari latarbelakang pendidikan Cina kebanyakannya tergagap-gagap dan lintang pukang menutur atau menulis Bahasa Kebangsaan mahupun Bahasa Inggeris.
Mereka ini seeloknya digelar warganegara separuh masak kerana tidak peka adat resam dan pantang larang atau budaya kaum lain, tidak sensitif dan tidak hormat kepada agama lain, tidak mampu bertutur dan bergaul dengan semua kaum dengan baik serta sukar menyesuaikan diri dalam acara yang melibatkan berbagai kaum apatah lagi majlis-majlis rasmi dan upacara adat.
Dan mereka inilah produk yang Dong Zong banggakan.
Ketika negara China semakin terbuka dan belajar menyesuaikan diri dengan dunia, Dong Zong terus berdegil ingin membawa kaum Cina di Malaysia ke belakang – ke era nenek moyang mereka di Tanah Besar yang mindanya tertutup rapat dan pandangannya terhad setakat tembok besar yang memisahkan negara mereka dengan dunia.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.