Isnin, 8 Oktober 2012
Jemaah Haji, Penerima BR1M Tunggu Masa Hukum PAS
Pertengahan tahun ini kita pernah dikejutkan dengan satu kenyataan melampau dan biadap dari Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengeluarkan arahan meminta ahli PAS menangguhkan ibadah haji sebagai persiapan menghadapi PRU 13.
Kenyataan Tuan Ibrahim itu bertarikh 5 Jun 2012 dan turut boleh dibaca dalam akhbar SelangorKini milik kerajaan PKR Selangor terbitan 8 - 15 Jun 2012 yang disebarkan di merata masjid dan surau di seluruh negeri.
Menurut Tuan Ibrahim, penangguhan ibadah haji itu dianggapnya sebagai wajar kerana PAS memerlukan jentera parti yang kuat dan utuh bagi melicinkan gerak kerja pilihan raya nanti yang diramalkan akan sengaja dilangsungkan semasa musim haji.
Berikutan itu, berbakul-bakullah maki hamun dan kejian dilemparkan terhadap Kerajaan Barisan Nasional dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh penyokong PAS termasuklah dari segelintir bakal jemaah haji pro PAS.
Mereka berandaian kenyataan pemimpin PAS itu benar dan ramalannya sahih melangkau masa depan walau hakikatnya ia cuma bersifat propaganda murahan untuk menyemai kebencian umum terhadap pemimpin dan Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah.
Kini, empat bulan sudah berlalu. Polemik pilihanraya di musim haji sudah tidak kedengaran. Tuan Ibrahim pun sudah semacam kura-kura di tepian parit menyorok muka bersembunyi dari sindiran rakyat.
Tika ini sebahagian besar jemaah haji sudahpun berada di Kota Suci Mekah tekun menjalankan ibadah sementara menanti tibanya lambaian haji yang selama ini dinanti-nantikan.
Lebihkurang 28,000 orang jemaah haji Malaysia dijangkakan pulang ke tanah air bermula 31 Oktober 2012 nanti, ini bermakna sekalipun jika parlimen dibubarkan dalam mana-mana tarikh dalam bulan Oktober, mereka tetap berpeluang untuk terlibat dalam proses pengundian.
Jelas sekali propaganda PAS kononnya jemaah haji akan dinafikan hak mengundi dalam PRU 13 tidak menjadi kenyataan.
Walaupun demikian, apakah mungkin para jemaah haji hanya sekadar melupakan saja polemik dan kontroversi yang sengaja dicetuskan oleh pemimpin PAS?
Tentu sekali tidak kerana diawal polemik pilihanraya musim haji ditimbulkan oleh PAS, tidak sedikit jemaah haji dari kalngan ahli dan penyokong PAS terpana sendirian, was-was dan keliru apabila terpaksa memilih antara dua tuntutan - satu tuntutan agama yang termaktub dalam Rukun Islam dan satu lagu tuntutan keduniaan demi kepentingan politik kepartian.
Mereka keliru kerana dipaksa mendahulukan hal ehwal duniawi sedangkan peluang menunaikan ibadah haji dan menjadi tetamu Allah s.w.t tatkala sudah cukup syarat kemampuannya jauh lebih penting berbanding soal kepartian PAS.
Bagi segelintir yang tergolong dalam kategori totok dan balaci karat hijau tentu sahaja mereka tidak kisah mengabaikan ibadah haji demi parti, namun mujurlah sebahagian besar jemaah haji berjaya melepaskan diri dari hasutan duniawi dan terus tekad hatinya mendahulukan seruan Illahi.
Sekarang Allah s.w.t telah menetapkan takdir dengan membuka hijab pembohongan propaganda PAS untuk ditatapi dan diadili oleh umat Islam negara ini.
Pastinya kepulangan para jemaah haji kelak akan mengimbau kembali ingatan mereka dengan kejahatan propaganda PAS itu apatah lagi bila masing-masing mendapat tahu pemimpin PAS yang sama itu juga baru sahaja menghina bakal penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disama tarafkan dengan penagih candu dan anak ayam yang kebuluran.
Tuan Ibrahim dan lain-lain pemimpin PAS mungkin boleh berdolak dalik dengan seribu satu alasan dan takwilan, namun hakikatnya baik para jemaah haji mahupun para penerima BR1M serta sebahagian rakyat Malaysia beragama Islam yang lain sudah tidak sabar menunggu masa untuk menghukum PAS dalam PRU 13 nanti.
Dek bahana terlanjur kata terlebih propaganda, kelak badan yang binasa. Dek kerana huduh tutur kata serta buruk pembawaan sikap akibatnya PAS perlu menerima kesan pembalasan hukuman yang setara.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.