Rabu, 17 Oktober 2012

Pembangkang Hidangkan Fantasi, Usaha Kaburi Bajet Realiti BN


KUALA LUMPUR, 16 Okt. – Keghairahan pakatan pembangkang untuk mendapat perhatian dan mengelirukan pemikiran rakyat dengan memburukkan kerajaan pentadbiran Barisan Nasional (BN) turut menjadikan Bajet 2013 sebagai antara bahan manipulasi terbaru mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Suraya Yaakob menyelar kepimpinan pembangkang yang melemparkan tohmahan ke atas bajet tersebut sedangkan realitinya telah terbukti berdasarkan perangkaan dan fakta selain kesinambungan kemajuan negara hasil kepimpinan BN sejak merdeka.

“Tahun lepas selepas bajet dibentangkan pun mereka mengatakan ia adalah untuk pilihan raya ke-13 kerana ketika itu mereka meramalkan bahawa pilihan raya akan dilaksanakan pada awal tahun namun malangnya ia meleset dan hampir semua yang digariskan dalam bajet tahun lalu berjaya dilunaskan oleh BN,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujarnya, pepatah yang sesuai untuk pakatan pembangkang ini adalah ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang sedangkan mereka yang berlebih’ ekoran daripada tingkah mereka yang melaksana kan pembentangan bajet dua hari sebelum Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berbuat demikian.

“Pembangkang melemparkan tuduhan pada BN kerana sebenarnya mereka sendiri yang memberikan gula-gula politik tetapi melemparkan tuduhan pada BN sedangkan realitinya bajet yang mereka bentangkan lebih kepada mimpi-mimpi indah yang tidak mungkin menjadi realiti.

“BN melakukan pembentangan bajet berdasarkan kepada pendapatan kerajaan yang memberikan keselesaan untuk rakyat termasuklah pakatan pembangkang sendiri kerana mereka juga rakyat Malaysia.”

Terangnya yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, bajet kerajaan adalah untuk rakyat dengan tafsiran daripada pendapatan negara yang dijangka lebih baik dan keuntungan ini diagihkan serta dikongsi bersama-sama rakyat keseluruhannya dalam bentuk pelbagai imbuhan dan bantuan.

“Jika pakatan pembangkang benar-benar bersikap matang dan bertanggung jawab maka mereka tidak akan melaksanakan pembentangan bajet sebagaimana yang dilakukan oleh ketua pembangkangnya apatah lagi banyak perkiraan dan perangkaan-perangkaan yang salah dan bercanggah dengan keadaan sebenar,” katanya.

Tambah beliau, mana-mana pihak dengan mudah boleh melakar dan menyebut apa saja angka demi untuk mengaburi mata rakyat dan membangunkan satu perincian menarik tanpa melihat kepada situasi dan kedudukan kewangan yang sebenar sebagaimana pembangkang.

“Merekalah sebenarnya yang menghidang kan ayat-ayat politik kepada rakyat kerana apa yang mereka janjikan tidak perlu ditunaikan sebaliknya hanya permainan angka dan impian kosong sahaja.

“Lebih dari itu, sebenarnya pakatan pembangkang makan hati kerana rakyat menerima dan gembira dengan pembentangan bajet dan ramai menganggapnya sebagai mesra rakyat.”

Tegas beliau lagi, jika pakatan pembangkang benar-benar bersifat matang dan ingin melakukan kritikan ia boleh dibuat dengan rasional, memberikan cadangan yang bernas dan berdasarkan kepada fakta-fakta sebenar tanpa sebarang manipulasi sebaliknya atas kepentingan masyarakat keseluruhan.

Antara janji bajet pembangkang 2013 ialah harga semua jenis kereta akan diturunkan , bayaran tol di kesemua laluan lebuh raya akan dihapuskan dan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) pula akan dimansuhkan.