Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menyifatkan kunci kepada kejayaan adalah bergantung kepada nilai sesuatu sistem yang diamalkan oleh sekumpulan manusia dalam melaksanakan tugas.
Dan atas faktor itu, beliau merasakan negara Jepun telah mendidik rakyat dengan suatu nilai yang baik dalam membentuk budaya kerja yang produktif dan berdisiplin.
Katanya, melalui amalan tersebut, Dasar Pandang ke Timur pada tahun 1982 diperkenalkan dengan motif untuk menjadikan budaya kerja yang diamalkan oleh rakyat Jepun turut digunapakai oleh rakyat Malaysia.
"Pada tahun 1961, saya mengadakan lawatan ke Jepun di mana ketika itu Jepun dalam proses pemulihan disebabkan oleh Perang Dunia.
"Apa yang menyebabkan saya kagum adalah dalam proses pemulihan itu Jepun telah berjaya menjadi sebuah negara yang begitu maju dan pesat jika dibanding dengan kepesatan pembangunan di Malaysia.
"Saya begitu ingin tahu apakah faktor yang menjadikan negara ini begitu cepat membangun... apakah sistem yang diamalkan kerajaan ketika itu sehingga membolehkan Jepun terus membangun dalam pelbagai industri," kata Tun Mahathir.