NURUL MAZWANA HAMDAN
Supain Gane |
SELAMA, 7 Nov. –Seorang anggota tentera berpangkat koperal yang dipercayai hilang ketika menjalani latihan penerjunan di Redang Panjang, Kubu Gajah, sejak Isnin lalu ditemui mati, hari ini.
Mayat Supain Gane, 37, yang hilang ketika menjalani latihan penerjunan bebas Ex Tiger Warrior siri pertama di kawasan itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 4.30 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Selama, Asisten Superintendan Abd Ghani Zainun berkata, mangsa ditemui terdampar di kawasan paya di sebuah kebun getah kira-kira 0.5 kilometer dari lokasi pusat menyelamat di Ladang Holyroad Rhona.
Menurutnya, ketika kejadian, payung terjun yang digunakan mangsa dipercayai gagal berfungsi.
“Keadaan itu menyebabkan alat berkenaan terbelit di bahagian badan mangsa, bagaimanapun kita masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Selama untuk bedah siasat.
Dengan penemuan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat yang disertai 117 anggota dihentikan serta-merta pada jam 5.30 petang.
Mengulas lanjut, Abd Ghani berkata, mangsa berasal Tamparuli, Sabah, yang bertugas di cawangan Komando Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat itu menjalani latihan penerjunan mengguna pesawat udara CN 235 dengan ketinggian 2,333 meter di kawasan berkenaan bersama 24 anggota lain.
Menurutnya, kehilangan mangsa hanya disedari setelah 23 anggota lain selesai melapor diri kepada Pegawai Latihan Khusus Ketua Ronda sebaik selesai membuat terjunan.
“Gerakan mencari dan menyelamat dilakukan Isnin lalu kira-kira jam 1.45 petang, sebaik menerima laporan kehilangan mangsa,operasi terpaksa ditamatkan pada jam 7.30 petang akibat keadaan cuaca sebelum disambung pagi tadi,” katanya.
Selain polis, jabatan dan agensi yang terlibat dalam operasi sejak Selasa lalu ialah bomba, Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penduduk kampung.
Mangsa dari Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat Kem Sungai Udang, Melaka telah berkhidmat bersama pasukan tentera sejak 1997.