Jumaat, 14 Disember 2012

ANTARA KEBERANIAN HABIBIE DAN KEBACULAN ANWAR

Marah bukan kepalang Anwar Ibrahim apabila mantan Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin atau Zam melabel Ketua Pembangkang itu dan sahabatnya baiknya, bekas Presiden Indonesia, B.J. Habibie sebagai 'anjing-anjing imperialis'.

 Hujah Zam, gelaran tersebut sesuai sekali terpakai kepada kedua-dua tokoh politik itu kerana peranan mereka yang telah memporak perandakan negara masing-masing.

Saat Habibie menjadi Presiden Indonesia setelah Suharto di jatuhkan oleh gerakan reformasi, antara langkah pertama beliau ialah tunduk kepada kuasa Barat untuk diadakan pungutan suara bagi pemisahan wilayah Timur Timor.

Timur Timor yang telah menjadi sebahagian daripada Indonesia sejak 1975 akhirnya dikorbankan dan menjadi negara merdeka pada 1999 dan dikenali sebagai Timur Leste.

Kedaulatan wilayah Indonesia telah dimangsakan semasa Habibie memimpin negara itu.

Kelemahan kepemimpinan Habibie menyebabkan kuasa Zionis-Yahudi menyusup masuk dan menggenakan tekanan hebat ke atas seorang yang lemah sepertinya.

Pada ketika sama di Malaysia, Anwar dipecat oleh Dr Mahathir pada 2 September 1998 dan beliau dengan serta merta mentransformasi dirinya dalam tempoh 24 jam, menjadi jaguh rakyat dan melancarkan gerakan reformasi jalanan yang sama seperti di Indonesia.

Ketika negara sedang melalui tempoh yang amat getir dan mencabar akibat serangan penyanggak matawang, George Soros terhadap ekonomi negara-negara rantau Asia Tenggara, Anwar pula menambahkan tekanan dengan tujuan untuk menjahanamkan Malaysia.

Tujuannya ialah untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir ketika itu dan seterusnya melantik dirinya sebagai Perdana Menteri.

Kerosakan yang dibawa oleh kedua-dua individu ini kepada negara masing-masing sememangnya harus dikenang dan diingati oleh generasi mendatang agar menjauhi dipimpin oleh karektor seperti mereka.

Maka tidak salah kalau Zam meletakkan status mereka setaraf dengan 'dogs of imperialism' kerana amat secocok sekali dengan pembelotan yang telah mereka lakukan.

Tidak terkejut apabila ada badut seperti Azmin Ali yang akan meluru ke depan untuk mempertahankan bosnya, walaupun perbuatan yang dilakukan Anwar boleh dikategorikan sebagai khianat peringkat tertinggi.

Memang sepadan gandingan Anwar dan Habibie kerana mereka adalah cerminan satu sama lain.

Jika Habibie adalah Bapa Pluralisme di Indonesia, di Malaysia pula terdapat sekutunya yang memegang fahaman yang sama iaitu Anwar.

Hanya bezanya, Habibie lebih berani daripada Anwar untuk memertahankan fahaman pluralisme berbanding Anwar yang menyorok di belakang kawannya itu.

Antara Habibie dan Anwar dalam berhujah mengenai ideologi pluralisme yang songsang itu, nyata Ketua Umum PKR itu jauh lebih bacul.

Apa tidaknya, ketika Nurul Izzah dibelasah media berhubung isu kebebasan beragama bagi orang Melayu, Anwar hanya mampu mempersalahkan media arus perdana yang dituduhnya memutar belit kenyataan anaknya.

Anwar tidak ada kemampuan intelek dan pemahaman mendalam untuk tampil menegakkan aliran pemikiran pluralisme yang dikongsi bersama Nurul Izzah.

Dari segi ini, nampaknya Habibie lebih berani dan terserlah kejantanannya daripada Anwar, walaupun fahaman pluralisme ditolak oleh Islam.

Apa yang mampu dibuat oleh Anwar hanyalah menyerang UMNO dan Perdana Menteri dengan bermacam-macam tuduhan dan fitnah.

Selain mencaci dan mencemuh kerajaan pada siri ceramah di seluruh negara, Anwar tidak berupaya untuk mencetuskan idea yang boleh mengangkat martabat agama, bangsa dan negara.

Anwar yang mahu menjadi politikus yang bergerak di atas simpatisan rakyat dan landasan politik picisan.

Tidak pernah rakyat mendengar dari mulutnya mahupun tercatat di dalam Buku Jingga yang dijulang puak pembangkang, bagaimana perjuangan Pakatan Rakyat mahu menobatkan bangsa Melayu dan Islam.

Tidak mungkin tawaran murahan dan populis seperti menurunkan harga minyak petrol, menghapuskan PTPTN dan tol lebuhraya, mahupun mengambilalih IPP mahupun berdaya untuk melonjakkan kemajuan ekonomi negara ke tahap yang lebih kompetitif.

Maka ajakan Anwar untuk berdebat dengan Perdana Menteri hanyalah gimik politik untuk menakjubkan rakyat dengan retorik kosong melalui kepetahan bersyarah, tidak lebih daripada itu.