Rabu, 19 Disember 2012

Apa jadi dengan Tabung I.S.A.

TABUNG ISA

Kepada yang berkenaan,

Assalamu`alaykum wa rahmatuLlahi wa barakatuh / salam sejahtera

Dimaklumkan bahawa Parti Keadilan Nasional [keADILan] telah menubuhkan sebuah tabung yang dinamakan Tabung ISA dengan membuka akaun khas di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Tabung ini ditubuhkan khusus untuk menampung perbelanjaan urusan guaman para tahanan ISA dan juga membantu kebajikan ahli-ahli keluarga mereka. Penanggungjawab kepada tabung ini ialah Bendahari Agung Parti – Sdr. Abdul Rahman Othman, Puan Irene Fernandez dan Dr. Xavier Jayakumar (Ahli MPT) serta Sdr. Hamidzun Khairuddin – Ahli Exco Pemuda yang juga seorang daripada peguam-peguam yang terbabit.

Sehubungan dengan itu, semua kutipan derma dan sumbangan untuk mangsa ISA ini hendaklah disalurkan kepada akaun berkenaan:

Parti Keadilan Nasional – Tabung ISA

BIMB 12113010009151

atau,

kepada Ibu Pejabat Parti atau penama-penama berkenaan atau bagi peringkat Negeri pula sebarang kutipan bolehlah disalurkan menerusi Setiausaha Perhubungan Negeri atau Bendahari Perhubungan Negeri.

Sekian. Terima kasih.

MOHD ANUAR TAHIR

Setiausaha Agung







http://nt_isa.tripod.com





PEMUDA PAS PAHANG SUMBANG RM5 RIBU KEPADA TABUNG ISA

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - Dewan pemuda PAS Pahang menyampaikan sumbangan berjumlah RM 5000 sebagai bantuan meringankan beban keluarga tahanan ISA, khususnya menjelang Syawal akan datang.

Pemangku Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Md Saad, dalam kunjungan ke pejabat Harakah, hari ini menyampaikan sumbangan tersebut kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melalui Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, pagi tadi.

Menurut Suhaimi, sumbangan tersebut menunjukkan kebersamaan dewan itu dengan isteri-isteri tahanan ISA dalam memahami dan menyelami kesengsaraan keluarga tahanan yang ditinggalkan.

Dalam pada itu, aktivis GMI, Norlaila Othman, yang turut hadir, menyatakan bahawa Suhaimi dan Pemuda PAS Pahang sentiasa komited dalam isu kebajikan keluarga tahanan ISA.

"Bukan baru sekarang, ustaz dan Pemuda Pahang membantu GMI. Tetapi dari dahulu lagi. Malah, ustaz juga yang berjaya menjual buku 'Dunia Tanpa Suami' tulisan saya dan beberapa rakan lain dengan bilangan yang banyak," kata beliau.

Sementara itu, Ahmad Lutfi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Pemuda PAS Pahang atas sumbangan ikhlas yang diberikan kepada GMI untuk meringankan beban keluarga ISA.

Beliau turut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pembaca Harakah yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan ke tabung yang diwujudkan Harakah bagi tujuan tersebut.

"Pada awalnya, kami di Harakah tidak menjangkakan akan mendapat sambutan yang begitu baik dari seluruh masyarakat. Sehingga hari ini, tabung kami telah mencecah hampir RM 100 ribu dan sebahagiannya sudah disampaikan kepada GMI dan keluarga tahanan sendiri," kata beliau.

Dalam majlis sama, Harakah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 30 000 kepada GMI.

Sebelum ini, dalam rangka misi Harakah ke Sabah bagi menemui keluarga tahanan ISA, sebanyak RM15 000 berjaya disampaikan kepada sepuluh keluarga, termasuk anak-anak kecil tahanan ISA.

Tinjauan Harakah selama dua hari bermula 23 Sept hingga 24 Sept lalu turut menyaksikan kebanyakan anak-anak Sabah tidak berpeluang bersekolah kerana kesempitan hidup.

Atas kesedaran tentang kepentingan ilmu, Harakah sekali lagi berusaha untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak Sabah dapat meneruskan kehidupan mereka seperti kanak-kanak lain untuk mendapat hak pendidikan sewajarnya.Bagi pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA dan anak-anak Sabah yang keciciran ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336. - mr


TM NOTE

Dengar cerita ratusan ribu ringgit telah berjaya dikumpulkan, persoalannya ialah kemana wang tersebut disalurkan, tak ada hitam putih pun. Nampaknya ia sama dengan kes Tabung Memali, ada orang buat rumah besar, beli kereta baru dan mangsa Memali dapat habuk saja.