KUALA LUMPUR, 8 Jan – Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meminta penganjur perhimpunan yang didokong pembangkang di ibu negara Sabtu ini agar mematuhi peraturan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
Ia adalah antara perkara yang ditekankan Ismail ketika bertemu dengan pihak penganjur perhimpunan selama sejam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Selasa.
Pihak penganjur diwakili Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, N. Surendran; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Setiausaha Agong Pas Datuk Mustafa Ali; Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff dan Aktivis Hak Asasi Manusia, Maria Chin Abdullah.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf yang turut serta dalam pertemuan itu memberitahu Bernama, Ismail turut mengingatkan pihak penganjur perhimpunan agar memberi kerjasama kepada polis termasuk mematuhi larangan dalam akta tersebut.
"Seseorang itu melakukan kesalahan jika, bukan warganegara menyertai perhimpunan, menganjurkan perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak 50 meter dari had larangan, menyertai dan menganjur protes jalanan, seseorang bawah umur 21 tahun menganjurkan perhimpunan, kanak-kanak menyertai perhimpunan (bawah 15 tahun), merekrut atau membawa kanak-kanak untuk perhimpunan," katanya.
Ismail turut menegaskan jika sabit kesalahan individu terbabit boleh dikenakan denda antara RM10,000 dan RM20,000.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai "Mat Sabu" berkata polis sedia menjadi fasilitator pada perhimpunan tersebut yang dicadang ACP diadakan di Stadium Merdeka.
Bagaimanapun katanya, keputusan terakhir lokasi perhimpunan akan ditentukan esok berikutan pihak pemilik bangunan itu belum memberi kata putus mengenai perkara itu.
"Kita akan tunggu sehingga pukul 1 tengah hari esok sama ada dapat menggunakannya ataupun tidak, sekiranya tidak… kita akan mencari alternatif lain," katanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.