Rabu, 13 Februari 2013

107/02/13- Penyokong PAS Taiping Desak LGE Mohon Maaf Kepada Umat Islam

Sekumpulan ahli dan penyokong PAS dari cawangan Aulong, dekat Taiping hari ini menyuarakan rasa kecewa dan bantahan terhadap kepimpinan tertinggi PAS yang didakwa gagal mencapai kata sepakat dalam mempertahankan keputusan Majlis Syura PAS yang tidak membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible bahasa Melayu.

Mereka juga kesal dengan kepimpinan PAS Perak kerana sehingga hari ini, masih belum ada pendirian tegas dinyatakan berhubung perkara itu.

Jurucakap kumpulan itu, Ramli Sudin, berkata pemimpin DAP iaitu Karpal Singh dan Lim Guan Eng tidak menghormati keputusan Majlis Syura PAS kerana terus mempertikaikan perkara itu.



“Kami sebagai ahli dan penyokong PAS berasa kecewa kerana pemimpin PAS termasuklah kepimpinan negeri Perak tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk mempertahankan keputusan Majlis Syura PAS.

“Isu ini sangat penting kerana ia membabitkan soal akidah dan kita mahu Guan Eng meminta maaf kepada kepada umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia,” kata Ramli yang menjadi ahli PAS sejak 1996 lagi.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat (PR) juga tidak sepakat dalam menangani isu kalimah Allah sekaligus menyebabkan penyokong PAS menjadi keliru dan serba salah.

Menurutnya, PAS Perak perlu tampil menyatakan pendirian tegas terhadap isu kalimah Allah dengan segera.

“Kita akan menghantar memorandum kepada PAS negeri berhubung perkara ini dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan bantahan aman di perkarangan letak kereta Zoo Taiping, petang tadi.

Ahli kumpulan ini membawa poster tertera antaranya tertera perkataan ‘Bantahan Isu Kalimah Allah: Pemimpin PAS Jangan Gadai Islam Hanya Kerana DAP; Barua DAP Dalam PAS Sila Keluar; Tolak Anwar dan Selamatkan Perak Dari DAP.

Salah seorang ahli PAS yang ingin dikenali sebagai Helmi, berkata kalimah Allah adalah hak mutlak umat Islam dan ia tidak seharusnya dipertikaikan oleh pemimpin DAP.

“Kepimpinan PAS perlu bertegas dalam mempertahankan keputusan Majlis Syura berhubung isu kalimah Allah kerana ia milik mutlak umat Islam,” katanya.

Bantahan secara aman itu yang bermula jam 3.40 petang itu bersurai 15 minit kemudiannya.


PERAK TODAY