Isnin, 11 Mac 2013

Keturunan Suluk Sabah Menolak Pencerobohan Bangsa Sendiri

KETURUNAN SULUK SABAH MENGECAM PENCEROBOHAN 
Pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu bermula 12 Februari 2013 lalu membangkitkan kemarahan rakyat di seluruh negara. Tidak terkecuali ialah masyarakat Suluk Sabah yang menerima tempias daripada insiden itu kerana pengganas ialah sebangsa dengan mereka walaupun dikenali sebagai Tausug di Filipina.

Setiausaha Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah (PRESS), MOHD. ZAKI HARRY SUSANTO ketika diwawancara wartawan Mingguan Malaysia, SAIFUL HAIZAN HASAM di Tawau, menegaskan seluruh masyarakat Suluk Sabah berasa amat terhina dengan pencerobohan itu yang dianggapnya suatu tindakan bodoh dan tidak bertamadun.

“Kita dalam era moden ada undang-undang dan tahu sempadan negara," kata bekas Asisten Supritendan Polis (ASP) ini yang pernah mengetuai pasukan pengawal peribadi Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmao sewaktu menyertai Misi Bersepadu PBB (UNMIT) pada 2009.

MINGGUAN: Boleh ceritakan sepintas lalu sejarah orang Suluk di Sabah?

MOHD. ZAKI: Kami sudah lama bertapak di sini. Macam keluarga saya sendiri, saya generasi ketiga di Sabah. Arwah datuk datang ke sini pada awal 1930-an dari Pulau Parang di selatan Filipina.

Kehadiran orang Suluk ke sini adalah untuk berniaga, namun ada yang berkahwin dengan orang tempatan dan terus menetap sehingga pembentukan Malaysia sekaligus menjadi warganegara secara automatik. Berbalik pada kisah datuk saya, dia mendarat di kawasan Semporna dan pada masa itu sudah ada perkampungan Suluk di situ. Kemudian mereka berhijrah ke kawasan Haji Mat Tahir, Tawau. Pada masa itu juga sudah ada perkampungan Suluk di situ.

Saya tidak berani cakap bila sebenarnya kali pertama orang Suluk mula berhijrah ke sini, apa yang saya faham mereka telah terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan daripada British.

Berapakah jumlah orang Suluk di Sabah dan kawasan tumpuannya?

MOHD. ZAKI: Daripada statistik yang pernah saya terima, terdapat lebih 300,000 yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Yang tidak berdaftar seperti pemegang dokumen IMM (dokumen pelarian selatan Filipina), yang masuk dengan pasport dan pendatang haram, sukar untuk kita dapat angkanya.

Orang Suluk ini bertumpu di Pantai Timur Sabah bermula dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan dan membawa ke Kudat. Ini adalah kawasan berpantai kerana orang Suluk ini orang laut, pelayar dan pedagang yang baik.

Mengambil kira sejarah orang Suluk yang panjang di Sabah, siapakah tokoh Suluk yang jasanya boleh kita banggakan?

MOHD. ZAKI: Orang yang kami bangga kan ialah Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun kerana beliau ialah anak Suluk yang menjadi bapa kemerdekaan kami. Dalam pada itu, beliau ialah Bapa Malaysia kerana bersama-sama Allahyarham Tun Mohammad Fuad Stephens menggabungkan Sabah yang pada masa itu dikenali sebagai North Borneo dengan Sarawak dan Tanah Melayu untuk menubuhkan Malaysia.

Inilah orang yang paling kami hormati dan kalau disebut orang Suluk bersatu kerana jasa Tun Datu Mustapha, itu kami terima. Kami bukanlah fanatik tetapi beliau ialah tokoh agung orang Suluk yang membawa rahmat kepada kami, barangkali kalau bukan kerana beliau, kami tidak berada di tempat kami sekarang. Orang Suluk bertempiaran dan tiada tempat.

Masih relevankah Kesultanan Sulu kepada orang Suluk di Sabah?

MOHD. ZAKI: Yang Dipertua Negeri Sabah sekarang, Tun Juhar Mahiruddin berketurunan Suluk, sebab itu kami kata apa lagi yang mahu dikejar bangsa Suluk dari selatan Filipina? Kami pun ada 'sultan' kami walaupun jawatan beliau ialah Yang Dipertua Negeri. Benar beliau bukan sultan tetapi kedudukannya adalah yang tertinggi dalam Perlembagaan negeri. Secara simbolik kami sudah ada 'sultan', kenapa kami mahu bersultan dengan mereka lagi.

Perlu dijelaskan bahawa masyarakat Suluk di Sabah terbahagi kepada beberapa kategori iaitu: warganegara Malaysia, bukan warganegara (pakai pasport), pelarian dan pendatang haram

Bagi warganegara, saya berani cakap segelintir masih ada yang taat setianya boleh diragui. Walaupun warganegara, mereka ini masih ramai berulang alik ke selatan Filipina bertemu saudara mara. Saya pun ada keluarga di sana, saya hormati mereka tapi kesetiaan itu tidak berubah.

Apapun, majoritinya tetap setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Kesultanan Sulu pada mereka sudah tidak relevan, cuma dalam setandan pisang tidak pelik kalau ada sebiji dua yang rosak. Yang rosak inilah yang memburukkan keadaan, mereka inilah jadi musuh dalam selimut. Kita tidak kenal kerana mereka juga orang kita dan untuk tahu isi hati manusia adalah sukar.

Mereka ini turut membantu dalam isu pencerobohan berdarah di Lahad Datu?

MOHD. ZAKI: Saya boleh jamin ada orang tempatan, warganegara Malaysia berbangsa Suluk yang memainkan peranan. Tapi segelintir kecil sahaja, mereka ini sama ada terpaksa kerana diugut atau rela hati. Bagi yang rela hati mungkin mereka terpengaruh dengan janji pihak tertentu.

Bagaimana dengan Suluk warga asing, pelarian dan pendatang haram di Sabah?

MOHD. ZAKI: Untuk keadilan, begini saya katakan, keadaan itu terbalik. Ada segelintir daripada mereka mula tunjukkan taat setia kerana sudah lama di sini walaupun bukan warganegara. Saya pasti ada yang menyebelahi kita sebab mereka rasa sudah hidup senang di sini dan rasa adalah lebih baik jadi orang Malaysia.

Itulah yang kami selalu beritahu kepada masyarakat, Suluk tempatan jangan disamakan dengan Suluk bukan tempatan. Majoriti Suluk tempatan tidak perlu diragui kesetiaannya.

Sentimen bahawa Sabah ini milik Kesultanan Sulu masih wujud?

MOHD. ZAKI: Saya berikan contoh seorang saudara saya, dia orang Suluk warganegara Malaysia. Seorang anaknya berkahwin dengan keluarga Kiram. Apabila peristiwa Lahad Datu berlaku, dia kata itu okey, bagus kalau Sabah diambil balik oleh Sultan Sulu. Saya tanya kenapa? Dia cakap bagus lah sebab kita kan Suluk. Ini negeri kita punya, kalau Sultan Sulu ambil senang lah kita, bangsa kita memerintah.

Saya cakap negeri ini bukan kita punya, bukan milik mana-mana kaum, ini milik bersama. Kalau mahu hidup bersama, buang persepsi itu. Inilah yang saya cakap ada warganegara yang hati kecilnya masih ada kesetiaan kepada Sultan Sulu, apatah lagi salah seorang anaknya kahwin dengan keluarga Kiram, kalau Sabah jadi milik Kiram maka dia fikir akan jadi orang penting dalam masyarakat.

Masalahnya ramai sangat yang mengaku jadi Sultan Sulu, adik beradik Kiram pun dua orang yang mengaku.

MOHD. ZAKI: Mentaliti orang Suluk ini tidak ramai orang tahu. Dia tidak suka dipegang, tak suka dikawal, sebaliknya dia mahu memegang, kawal dan jadi ketua. Ini mentaliti secara turun-temurun mengalir. Semangat ini bagus jika digunakan ke arah kebaikan kerana dia boleh jadi pemimpin bagus. Dalam kalangan kita sendiri pun ramai yang jadi Menteri Kabinet Sabah dan wakil rakyat. Mereka ada karisma dan ketokohan tetapi ada sesetengahnya tersalah aliran menyebabkan mereka mahu jadi ketua dengan cara yang salah.

Maka timbullah satu keadaan, mereka yang salah aliran ini mahu mendapat perhatian dan kuasa sehingga menabalkan diri sendiri jadi sultan. Pada dasarnya memang ada ada susur galur Kiram tetapi ada satu susunan keluarga sultan ini yang terputus kerana tiada anak lelaki. Kalau Kiram yang betul sudah habis, yang dakwa dirinya sultan sekarang bukannya daripada zuriat waris lelaki tetapi perempuan dan ia sudah terlalu jauh bercampur aduk.

Dari sudut lain, mungkin sesetengah pihak anggap bangsa Suluk tidak diberi perhatian, di pinggir dan terabai. Jadi ada yang cuba menaikkan balik nama Suluk walaupun dengan cara yang tidak betul. Mereka anggap kalau jadi sultan, ada hak menuntut sesuatu termasuk bayaran pajak RM5,300 setahun yang kerajaan kita bayar

Tidak mustahil inilah yang menarik perhatian sehingga ada mengaku sultan. Bagi kita RM5,300 setahun tidaklah besar tetapi di selatan Filipina, jumlah itu besar.

Ramai beranggapan mereka ini dipergunakan?

MOHD. ZAKI: Saya berani kata elemen dipergunakan itu wujud berdasarkan pengalaman sendiri. Saya ada pak cik yang merupakan anggota polis di selatan Filipina. Pada November tahun lepas, dia datang menziarahi orang tua saya di Tawau. Bila ditanya, dia bilang datang bersama sultan yang mahu berjumpa seseorang di Kota Kinabalu. Sultan yang mana satu jadi tanda tanya kerana tidak didedahkan. Katanya sultan itu ada perbincangan dengan seseorang di Keningau, tetapi saya tidak pasti siapa personaliti di Keningau itu. Mereka masuk melalui Semporna dan ambil penerbangan ke Kota Kinabalu dari Tawau. Bila terjadi peristiwa pencerobohan Lahad Datu, saya fikir perkara ini sudah lama, sudah terancang dan ada pihak tertentu mainkan peranan baik di Sabah dan di sebelah sana.

Saya tidak boleh tuduh sesiapa tetapi dalam laman blog tersebar laporan pertemuan antara individu tertentu. Pada peringkat awal rundingan pun, pengganas Sulu di Lahad Datu ada sebut mahu bertemu personaliti tertentu. Sampai sekarang nama itu belum timbul. Siapa personaliti ini, rakyat nak tahu.

Apabila berlaku pendaratan pengganas Sulu pada 12 Februari lalu, apa reaksi masyarakat Suluk di Sabah?

MOHD. ZAKI: Segelintir orang Suluk warganegara Malaysia menyokong tetapi majoriti kami tidak suka, menolak dan kami tidak mahu. Di pihak Suluk yang bukan warganegara , segelintir menolak tetapi ramai yang suka. Mereka yang suka ini bangga kerana fikir Suluk kini berani, sekarang orang kenal bangsa kita. Ini jelas menunjukkan mereka minta perhatian.

Bagi warganegara yang setia?

MOHD. ZAKI: Kami malu sebab bagi kita ia tindakan tidak bertamadun. Kita dalam era moden ada undang-undang dan tahu sempadan negara. Dia main redah sahaja. Rumah kita kalau orang masuk sebarangan pun kita marah. Ini rumah kita tetapi dia datang bawa senjata. Terang-terangan ia tindakan bodoh. Ini sikap orang tidak cukup pelajaran.

Kami orang Suluk warganegara Malaysia rasa amat terhina kerana perbuatan orang lain. Terhina itu kerana walaupun mereka bukan warganegara, mereka juga satu galur keturunan dengan kami. Mereka tidak fikir tentang kami di sini, bagaimana pandangan masyarakat terhadap kami.

Sudahlah selama ini orang Suluk selalu diperlekeh, digelar PTI (pendatang tanpa izin), Patai (pendatang asing tetapi ada IC) dan pilak (hingusan, berpeleseran) . Dengan apa yang berlaku, masyarakat akan kata, inilah Suluk, tak boleh diberi muka.

Jadi kita rasa terpanggil untuk tunjukkan taat setia kerana kita sayang negara ini. Malah kalau boleh mengangkat senjata memerangi pengganas Sulu pun kami sanggup. Kami mahu berjuang untuk negara walaupun yang ditentang adalah orang yang sebangsa dengan kami.

Tetapi mereka ini berani walaupun tahu risiko tindakan pihak keselamatan.

MOHD. ZAKI: Saya bekas pegawai kanan polis dan pernah bertugas di Cawangan Khas. Walaupun sudah berhenti saya terus bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Saya terima maklumat ada di antara penceroboh ini jadi berani dan terlalu berani kerana berada di bawah pengaruh syabu. Syabu ini yang buat mereka berani dan lupa diri. Saya berani cakap benda ini. Tiada manusia yang waras boleh lakukan tindakan sedemikian rupa kalau tiada pengaruh benda lain, dalam kes ini, syabu. Dadah jenis ini boleh didapati dengan mudah di sana.

Ada beranggapan isu pencerobohan di Lahad Datu tidak akan terhenti kerana sikap dendam orang Suluk.

MOHD. ZAKI: Kelemahan orang Suluk adalah dendamnya. Saya difahamkan oleh keluarga di selatan Filipina, kalau berlaku satu pembunuhan, dendamnya membara dan mereka bertindak balas. Katakan anggota keluarga A bunuh ahli keluarga B, keluarga B akan balas dengan bunuh anggota keluarga A balik dan keluarga A akan balas. Tidak berkesudahan kalau begini.

Sepatutnya kita belajar melupakan dendam dengan memberi kemaafan. Ini pegangan saya dan inilah pesanan paling berguna yang saya pernah terima daripada Xanana Gusmao sepanjang menjadi pengawal peribadinya. Gusmao seorang pejuang di Timor Leste, ahli keluarganya dibunuh dan dirogol di depan mata tetapi dia ketepikan soal dendam sebaliknya memberikan kemaafan.

Apa pandangan saudara mengenai Kawasan Keselamatan Khas (SSA) yang diumumkan Perdana Menteri?

MOHD. ZAKI: Sangat baik, inilah yang kami nantikan sejak sekian lama. Saya anak Tawau. Lahir, membesar, bersekolah dan kahwin di sini. Kawalan Pantai Timur Sabah agak longgar. Kita akui geografi Sabah mencabar dengan pantai lebih 1,440 km, sempadan darat lebih 300 km, pulau 180 lebih dengan lebih 70 berpenghuni.

Jadi saya harap pembangkang jangan pertikai tindakan kerajaan membeli aset pertahanan kerana ini untuk kebaikan kami di Sabah. Sebab di sini kita bukan hanya bersempadan dengan Filipina bahkan dengan Indonesia. Kita kena ingat bahawa pencerobohan pertama selepas pembentukan Malaysia ialah di Kalabakan. Indonesia melancarkan Ganyang Malaysia.

Apa reaksi orang Suluk Sabah apabila kerajaan melancarkan operasi ketenteraan terhadap pengganas Sulu?

MOHD. ZAKI: Kita bersyukur kerana ia buktikan kerajaan mengutamakan keselamatan kami. Kita tertunggu-tunggu sebab bagi kami, pendekatan diplomasi itu ada hadnya, jangan terlampau lama. Tawaran supaya balik dengan aman telah dibuat. Kita telah bagi peluang, bukannya mereka mendarat terus diserang. Jadi tindakan kerajaan adalah tepat supaya mereka nyah dari bumi kita.

Tetapi ada bantahan kumpulan tertentu di Filipina kononnya kita kejam?

MOHD. ZAKI: Mereka ini barangkali tidak baca berita. Mereka tidak tahukah kekejaman pengganas Sulu kepada pasukan keselamatan kita. Mereka yang memulakannya dahulu. Siapa yang mencari pasal di tempat kita. Itu pun mereka dikira bernasib baik kerana Perdana Menteri kita sabar dan teliti dalam tindakannya, baik hati kerana memikirkan pihak di sebelah sana juga orang Islam.

Apa usaha masyarakat Suluk Sabah dalam menyelesaikan isu Lahad Datu?

MOHD. ZAKI: Sebenarnya kami terbahagi tugas, ada yang dihantar jumpa penceroboh malah ada yang bertemu Jamalul Kiram sendiri di Filipina. Datuk Amir Kahar Tun Datu Mustapha dan isteri sudah ke sana untuk berunding di Manila, minta pengganas keluar cara baik tetapi mereka enggan terima.

Ada desas-desus nama Op Sulu melukakan hati masyarakat Suluk Sabah?

MOHD. ZAKI: Kita tidak ambil kisah nama itu, kami Suluk bukannya Sulu. Kami tahu operasi itu fokusnya kepada pengganas daripada kepulauan Sulu. Penukaran nama kepada Op Daulat itu juga kita faham kerana ia untuk mendaulatkan undang-undang dan negara kita.

Kita lihat ada ahli politik yang celupar apabila mengulas mengenai pencerobohan berdarah di Lahad Datu?

MOHD. ZAKI: Bila Tian Chua cakap ini sandiwara, saya fikir pemikirannya jauh terpesong. Segalanya-galanya kerana ideologi politik berbeza. Inikah contoh untuk generasi muda Malaysia? Janganlah dihina pengorbanan pasukan keselamatan, kalau ini berlaku kepada saudara sendiri, barulah kena batang hidung. Di kala kita tidur nyenyak dengan anak bini di depan mata, makan pun bagus, mereka tidur di mana? Mandi, makannya bagaimana? Tetapi mereka tidak merungut dan sanggup pertahankan kedaulatan negara kerana itu amanah yang di galas di bahu.

Apa yang mendorong masyarakat Suluk menyatakan ikrar setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara dalam pertemuan bersama Perdana Menteri?

MOHD. ZAKI: Dalam media maya khasnya Facebook, sudah wujud satu sentimen membenci orang Suluk. Malah ada yang mewujudkan kumpulan Facebook mengecam kami. Kita tengah kenal pasti individu belakang tabir kumpulan ini untuk tindakan perundangan. Masalahnya kami ini disamaratakan. Dia tidak ambil kira Suluk tempatan atau Suluk pendatang, yang disebut ialah Suluk. Walaupun niatnya untuk merujuk Suluk di selatan Filipina, tetapi kami di sini Suluk juga. Kita terasa apabila ada yang sebut Suluk sahaja, dikaitkan dengan penjahat.

Jadi kita mahu membetulkan persepsi ini. Kami terhutang budi dan berterima kasih kepada Perdana Menteri yang amat memahami. Dalam pertemuan itu ditegaskan bahawa beliau tidak pernah ragui kesetiaan orang Suluk warganegara Malaysia di Sabah, beliau tahu kami taat dan setia kepada negara.

Sumber : Utusan