Isnin, 8 April 2013
Sejarah Ringkas Malaysia
Sejarah Malaysia dikatakan bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera.
Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana kedudukannya yang strategik iaitu titik pertemuan antara Asia Timur dan Asia Barat.
Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara.
Islam muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut.
Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula daripada tahun inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajah. Selepas itu , Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda.
Penjajahan British merupakan penjajahan paling lama dalam sejarah negara. British telah mencampuri semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri.
Campur tangan British telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan. Beberapa individu telah bangkit menentang penjajah namun oleh kerana usaha mereka lebih bersifat perseorangan maka penentangan tersebut dengan mudah di patahkan oleh British.
Antara tokoh yang bangun menentang penjajah ialah Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharaja lela, Rosli Dhobi dan beberapa tokoh lain.
Pada era 1920an dan 30an , ramai penduduk Tanah Melayu mula mendapat pendidikan, sama ada dari Timur Tengah atau pendidikan tempatan. Hasilnya, muncul golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme serta menggunakan media seperti akhbar dan majalah untuk menyebarkan ideologi masing-masing,
Malah ada yang telah membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) dengan tujuan mengusir penjajah dan membentuk kerajaan sendiri. Ketika rakyat begitu bersemangat untuk menamatkan penjajahan British, kita dikejutkan pula dengan pendaratan tentera Jepun pada tahun 1941 yang menandakan bermulanya satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu. Jepun telah menakluki Tanah Melayu sehinggalah tahun 1945 sebelum menyerah kalah ekoran pengeboman Hiroshima dan Nagasaki.
Pengunduran Jepun memberi ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu. PKM telah bertindak ganas dengan membunuh orang-orang Melayu, memusnahkan harta benda awam dengan sewenang-wenangnya sehingga British yang kembali selepas Jepun menyerah kalah. British telah mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu dari tahun 1948 hingga 1960. Namun keganasan PKM tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British yang kembali semula cuba memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan Malayan Union telah mendapat tentangan yang hebat dan menyeluruh daripada penduduk tempatan. Pada 11 Mei 1946 penubuhan Umno telah menyemarakkan lagi penentangan tersebut dan seterusnya menyemai bibit-bibit perjuangan ke arah berkerajaan sendiri.
Kemunculan Tunku Abdul Rahman telah memberi sinar harapan kepada perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika itu apabila tindakannya membentuk Parti Perikatan mula membuka mata British untuk membenarkan pendudukan mentadbir sendiri. Perpaduan antara tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India telah menampakkan hasil apabila Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 telah memberi petanda bahawa Tanah Melayu akan merdeka pada tahun 1957. Setelah kemerdekaan dicapai, timbul pula masalah berhubung dengan penubuhan Malaysia yang menggabungkan Sabah, Sarawak dan Singapura.
Penentangan terhadap penyatuan ini datang daripada Parti Rakyat Brunei, Indonesia dan Filipina. Walau bagaimana pun hasrat untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan MALAYSIA tercapai pada 16 September 1963.