Rabu, 15 Mei 2013

Perkasa tolak syor Mubarak

 Datuk Ibrahim Ali 
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak bersetuju dengan syor Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) yang mencadangkan agar calon Barisan Nasional (BN) yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu tidak wajar dilantik sebagai senator atau tersenarai dalam Kabinet.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, cadangan itu tidak wajar kerana ramai pemimpin cemerlang seperti Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Datuk Abdul Ghani Othman telah tewas dalam pilihan raya lalu disebabkan tsunami pengundi Cina.

Bagaimanapun beliau bersetuju agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membawa masuk lebih ramai tokoh profesional atau pesara kerajaan yang memiliki rekod baik serta cemerlang menganggotai barisan Kabinet.

Oleh kerana menteri dan timbalan menteri sibuk dan hanya akan datang ke Parlimen untuk menjawab soalan, sudah pasti jumlah ahli Parlimen akan berkurangan dan sebab itu tidak ada salah bagi BN melantik lebih ramai senator seperti dibenarkan dalam undang-undang bagi menambah kekuatan kerajaan dalam Parlimen," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.