Rabu, 15 Mei 2013

Tertutuplah sudah periuk nasi mereka di Singapura

KEMASKINI Kerajaan Singapura akan membatalkan pas kerja seorang daripada rakyat Malaysia yang ditahan kerana menyertai protes haram di Merlion Park pada 8 dan 11 Mei lalu, lapor The Straits Times pada Rabu.

Selain itu pas lawatan dua rakyat Malaysia yang lain juga telah dibatalkan, manakala pas pekerja bagi 18 yang lain akan dikaji semula selepas siasatan selesai, kata polis Singapura dalam satu kenyataan lewat Selasa.

Sebelum ini 21 rakyat Malaysia ditahan ketika menyertai protes berhubung keputusan pilihan raya 5 Mei lalu walaupun diberi amaran oleh pihak polis untuk tidak berbuat demikian.

Lapan lelaki dan 13 wanita berusia antara 21 dan 40 tahun, kini dibebaskan dengan ikat jamin.-15/5/2013

Imigresen boleh batal pasport mereka yang cemar imej negara...

Jabatan Imigresen boleh mengambil tindakan membatalkan pasport dan menyenaraihitamkan nama rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan dan mencemar nama baik negara ketika berada di luar negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad berkata, rakyat negara ini yang dikenakan tindakan tersebut tidak akan dapat ke luar negara dalam tempoh tertentu.

"Jadi, mereka sepatutnya mengelak daripada melakukan sebarang kesalahan dan perbuatan yang boleh menjatuhkan imej Malaysia ketika berada di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media sebelum ini mengenai tindakan segelintir rakyat di luar negara yang telah mencemarkan imej Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah rakyat negara ini yang telah dikenakan tindakan tersebut sebelum ini.

Pada 8 Mei lalu, 21 rakyat Malaysia mengadakan demonstrasi haram di Merlion Park, Singapura sebagai membantah keputusan PRU13, manakala sekumpulan pelajar Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di Taiwan pada 6 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Alias memberitahu, Wisma Putra perlu melaporkan insiden yang berlaku di luar negara itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.

"Jabatan Imigresen Malaysia akan mengambil tindakan berdasarkan laporan penuh yang dikemukakan oleh KDN," jelasnya.-14/5/2013
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.