Khamis, 18 Julai 2013

Malaysia Negara Kelapan Paling Murah Jual Petrol Dan Diesel Kepada Rakyat

Malaysia adalah negara kelapan di dunia paling murah menjual petrol dan diesel kepada rakyatnya, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata harga murah itu hasil pemberian subsidi yang besar oleh kerajaan ke atas petrol dan diesel termasuk gas memasak.

"Daripada 227 negara di dunia, Malaysia berada pada kedudukan nombor lapan negara paling murah menjual petrol dan diesel kepada rakyatnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2012) 2013 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini Rabu.

Ahmad berkata kerajaan telah memberi subsidi sebanyak 90.4 sen untuk setiap liter diesel dan 90 sen untuk setiap liter petrol RON95.

Katanya, untuk diesel rakyat hanya perlu membayar RM1.80 seliter bukan RM2.74 manakala untuk petrol RON95 pula rakyat hanya perlu membayar RM1.80 seliter.

"Tanpa subsidi sebanyak 90 sen seliter, harga petrol RON 95 sepatutnya RM2.80 seliter," katanya.

Menurut beliau, gas memasak juga tidak terkecuali menerima subsidi yang besar di mana bagi tong gas memasak seberat 14 kilogram, rakyat membeli pada harga RM26.60 setong berbanding harga yang sepatutnya dijual adalah RM47.46 setong.

"Ini bermakna kerajaan memberi subsidi sebanyak RM20.80 setong," katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan berlakunya penyeludupan minyak ke negara jiran adalah disebabkan harga minyak yang murah di Malaysia.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mempunyai mekanisme tertentu bagi menangani masalah penyeludupan minyak.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.