Polis giat menjejaki ketua masing-masing kerana didapati terlibat dalam kes curi kenderaan di sekitar daerah ini sejak Jun lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, suspek pertama dikenali sebagai Ah Fat dipercayai terlibat dalam kes samun membabitkan seorang wanita, 26 Jun lalu di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dr Burhanuddin, di sini.
Menurutnya, dalam insiden kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, Ah Fat, 22, atau nama sebenarnya Muhammad Nur Tashriq Abd Malek bersama tiga rakannya menahan kenderaan mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai polis.
“Bagaimanapun wanita berkenaan yang menyedari ia satu taktik penipuan berjaya meloloskan diri dan meninggalkan kenderaannya di lokasi kejadian menyebabkan keempat-empat penjenayah itu melarikan diri bersama kenderaan Nissan Teana milik wanita terbabit,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Hasil gerakan bersama pasukan polis Ipoh, salah seorang ahli kumpulan berkenaan berusia 30 tahun berjaya ditahan ketika melarikan diri bersama kereta mangsa di kawasan Bandar Baharu Ipoh.
Dalam tangkapan itu, polis turut menemui satu gari siam, satu walkie talkie dan dua telefon bimbit.
Yusuf berkata, lelaki berasal dari Sungkai itu mengaku bersalah di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun setelah dihadapkan ke mahkamah.
“Usaha kita kini bagi menjejaki dua lagi rakan dan ketua kumpulan yang dikenali sebagai Ah Fat berasal dari Taman Kuala Kangsar, Perak,” katanya.
Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki dikenali sebagai Atan, 23, dicari setelah dipercayai mengetuai sebuah kumpulan lain melarikan lima kereta milik sebuah syarikat kereta terpakai di Assam Kumbang, di sini.
Atan atau nama sebenar, Shamsul Niezam Ahmad dari Taman Mewah, Taiping itu bersama lima lagi rakannya masing-masing berusia 20 hingga 28 tahun dipercayai membawa kenderaan terbabit menghala ke Thailand.
Yusuf berkata, polis bagaimanapun berjaya mengesan tiga kenderaan masing-masing sebuah kereta jenis Honda Civic dan dua Toyota Hilux antara 13 hingga 22 Jun lalu.
Menurutnya, dengan penemuan tiga kenderaan itu, polis turut menahan tiga individu di lokasi berasingan, dua daripada mereka didapati positif dadah.
“Dengan bantuan polis Kedah, kita berjaya menahan dua individu dalam satu sekatan jalan raya di Lorong Touch n Go kawasan Plaza Tol Jitra, Kedah, 19 Jun lalu, sementara seorang lagi ditahan di Kampung Pengkalan Kechil, Tikam Batu, Kedah pada 22 Jun lalu,” katanya.
Yusuf berkata, selain Atan, dua lagi ahli kumpulan berkenaan diburu bagi membantu siasatan, salah seorang daripadanya dikenali sebagai Mohd Adam Mohd Isa dari Kampung Bukit Kechil, Tikam Batu, Kedah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan memiliki barangan curi,.