Pemimpin UMNO hanya "insaf dan sedia berubah" dalam perkara tertentu secara berpilih-pilih.
Mengharapkan pemimpin UMNO sedia berubah walaupun kepentingan diri sendiri terpaksa dikorbankan, samalah seperti kita mengharapkan Omar Ong berhenti secara sukarela dari memberi khidmat nasihat kepada DS Najib.
Yang sering diperingatkan supaya berani berubah pun hanya ahli akar umbi. Pemimpin tidak terikat dan tidak perlu berubah.
Ahli diperingatkan supaya insaf dan mementingkan masa depan parti.
Ahli juga dikehendaki bertindak matang dan setia kepada parti.
Ahli mesti memperjuangkan dan mendahului parti dalam segala hal.
Semua perkara ahli kena fikir dan semua perkara ahli mesti lakukan demi untuk kebaikan UMNO dan masa depan orang melayu di negara ini.
Pendek kata, tanggungjawab seseorang ahli UMNO lebih berat dari tanggungjawab seseorang yang bertaraf pemimpin. Lebih penting lagi, ahli perlu lebih memahami kehendak dan aspirasi para pemimpin UMNO daripada pemimpin perlu memahami aspirasi dan kehendak ahli di bawah.
Ini kedudukan UMNO zaman "transformational".
Tanggung jawab ahli berat kerana harus memahami kenapa pertandingan peringkat tertinggi perlu dielakkan.
Jika dulu pertandingan hanya perlu dielakkan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, hari ini ahli perlu fikir lebih ke depan supaya pertandingan bagi jawatan Naib Presiden pun perlu dielakkan.
Jika berlaku perpecahan akibat dari pertandingan, siapakah menjadi faktor penyumbang kepada perpecahan ini? Adakah ahli ataupun pemimpin itu sendiri?
Jika ahli telah membuktikan mereka boleh akur dan taat dengan saranan pemimpin atasan supaya jangan dipertandingkan jawatan tertinggi, sejak tahun 1990, kenapa ahli tidak boleh akur jika selepas pertandingan para pemimpin yang bertanding ini menyaran dan menasihatkan ahli UMNO merapatkan semula barisan?
Jawatan tertinggi tidak pernah dipertandingkan sejak kali terakhir ia dipertandingkan pada tahun 1987. Selepas 1987, tiap kali diambang pemilihan semua pemimpin akan menyarankan supaya jangan dipertandingkan jawatan tertinggi, dan setiap kali itu juga ahli tetap akur dan taat dengan saranan pemimpin.
Tetapi, walaupun tidak pernah lagi berlaku pertandingan peringkat tertinggi, kenapa UMNO sekarang jauh lebih lemah dari UMNO yang diwarnai dengan pertandingan? Kenapa UMNO tetap juga mengalami pasang-surut sokongan rakyat, kadang-kadang kuat dan ada kalanya lemah, walaupun pertandingan peringkat tertinggi sentiasa berjaya dapat dielakkan dari berlaku?
Jelas sekali "kemungkinan berlakunya perpecahan akibat dari pertandingan jawatan tertinggi" hanyalah ayat yang digunakan untuk menjaga kepentingan pemimpin semata-mata. Hakikatnya ia tidak kena-mengena langsung dengan kepentingan ahli UMNO dan rakyat seluruhnya.
"Kemungkinan berlaku perpecahan akibat dari pertandingan jawatan tertinggi" adalah bahasa moden yang digunakan bagi menggantikan bahasa kuno Hang Tuah, tetapi tetap membayangkan maksud yang sama, iaitu ahli UMNO harus taat dan setia kepada pemimpin walau dalam apa keadaan sekali pun, jika mahu melayu terus selamat dan tidak hilang di dunia.
Ahli mesti memahami dengan mendalam masalah yang dihadapi oleh para penjawat 5 jawatan tertinggi ini.
DS Zahid Hamidi tiada masalah untuk terpilih semula. Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tiada masalah untuk kekal dikedudukannya jika berlaku pertandingan. Malah DS Najib juga tiada masalah untuk diberi semula peluang ke dua oleh para perwakilan untuk membuktikan bahawa darah yang mengalir di dalam tubuh beliau masih kental darah keturunan Allahyarham Tun Razak.
Yang dilihat bermasalah besar untuk mengekalkan jawatan dan dipilih semula oleh perwakilan adalah DS Hishamuddin Tun Hussein dan DS Shafie Afdal.
Apakah 3.5 juta ahli UMNO perlu berkorban perasaan dan akur supaya dielakkan pertandingan di peringkat Naib Presiden hanya semata-mata demi untuk menyelamatkan kedudukan DS Hishamuddin Tun Hussein seorang?
Apakah 145 ribu perwakilan UMNO cawangan ke mesyuarat bahagian harus bersedia untuk mengorbankan kepentingan masa depan UMNO dipandangan mata rakyat dan orang melayu seluruhnya dengan bertindak mengelakkan berlaku pertandingan semata-mata mahu memastikan agar DS Hishamuddin tidak tersingkir dari kerusi Naib Presiden?
Adakah ahli UMNO mahukan "ikon" yang menjadi daya penarik sokongan rakyat untuk diletakkan di kedudukan-kedudukan penting hairaki parti, atau mahu mengekalkan "ikon" yang telah menyebabkan UMNO telah dipandang sebelah mata oleh rakyat pelbagai kaum, khususnya saluran 4 & 5?
Saya berkeyakinan penuh bahawa Allahyarham Dato Onn menubuhkan UMNO semata-mata demi untuk memastikan kedudukan umat melayu di tanah air ini terus didaulatkan.
Saya juga berkeyakinan penuh beliau tidak pernah sekelumit pun memikirkan untuk menubuhkan UMNO semata-mata bagi memastikan keturunan beliau "wajib mewarisi kepimpinan UMNO" walau selemah mana pun kepimpinan yang dimiliki oleh cucunya yang seorang ini.
Jika Anwar sudah dinasihatkan, "kalau dah peliwat tu peliwat jugak, kalau dah kalah tu kalah lah".
Nasihat untuk DS Hishamuddin macam mana pulak ya ??