Seorang penternak lembu cedera di tangan selepas terkena tembakan sewaktu memandu lori yang sarat muatan makanan lembu di Sungai Division Kuala Muda Jalan Bukit Selambau di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 5 petang, mangsa, M. Yogeswaran, 30, hanya mengalami cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan.
Difahamkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal datang dari arah belakang lori dipandu mangsa. Salah seorang daripada mereka kemudian melepaskan tembakan ke arah mangsa namun hanya mengenai jari mangsa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, tembakan itu menyebabkan lori dipandu mangsa terbabas manakala suspek terus melarikan diri.
"Mangsa masih dirawat hospital dan keadaannya dilaporkan stabil. Polis sedang menyiasat bagi mengesan suspek dan besar kemungkinan, mereka dikenali mangsa," katanya.
Khalil berkata, kejadian berlaku tidak ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap atau kes-kes tembakan dilaporkan berlaku sebelum ini dan polis masih mengumpulkan maklumat mengenai kejadian itu. - UTUSAN ONLINE
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.