Pencabar kedudukan Khairy Jamaluddin sebagai penyandang Ketua Pemuda Umno Malaysia, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi hari ini menafikan dirinya menjadi proksi kepada mana-mana pihak.
Sebelum ini timbul dakwaan yang mengatakan keputusan Akhramsyah menawarkan diri bertanding menentang Khairy merupakan agenda politik yang dikaitkan dengan pertembungan dua bekas Presiden Umno iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Tidak.. saya tidak berada di kem mana-mana pihak.
"Kalau nak katakan saya sebagai proksi, ya, saya memang proksi tetapi kepada akar umbi yang mahukan perubahan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Cawangan Bendang Baru, Langkawi turut menafikan mewakili "kem" tertentu sebaliknya menawarkan diri berdasarkan permintaan akar umbi yang inginkan perubahan dalam pegerakan Pemuda Umno.
Penyertaan Akhramsyah mendapat restu Badan Perhubungan Umno Kedah yang dipengerusikan Datuk Mukhriz Mahathir.
Khamis lalu, Akramsyah yang juga anak kepada bekas Setiausaha Agung dan Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid, diperkenalkan Umno Kedah kepada penyokong dan perwakilan parti bersama 11 lagi calon yang akan bertanding merebut beberapa jawatan dalam Pemuda, Wanita dan Puteri.
Akramsyah memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Imperial College di London.
Sehingga kini, pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno menyaksikan saingan tiga penjuru selepas bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Karim Ali turut mengumum akan bertanding.