Khamis, 19 September 2013

BN PERAK MANTAPKAN PENTADBIRAN NEGERI

 Kerajaan negeri mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Exco yang dianggotai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi tujuan melicinkan pentadbiran di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ADUN yang menganggotai sesebuah Jawatankuasa Exco akan membantu ahli Exco untuk melaksanakan tugas dengan lebih efektif.

"Pelantikan ADUN ini berdasarkan pengalaman dan kecenderungan mereka untuk membantu di peringkat Jawatankuasa Exco.

"Malah Ahli Jawatankuasa Exco ini terdiri daripada ADUN Barisan Nasional (BN) dan pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan surat pelantikan kepada ADUN yang menjadi Ahli Jawatankuasa Exco di sini, hari ini.

Di bawah penubuhan Jawatankuasa Exco itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam yang dipengerusikan oleh Zambry, ia dianggotai oleh ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dan ADUN Chenderiang, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

ADUN Trong Dr. Zabri Abd. Wahid, ADUN Slim Datuk Mohd. Khusairi Talib dan ADUN Lintang Datuk Zolkafly Harun menganggotai Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan oleh Datuk Saarani Mohamad.

Bagi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor yang dipengerusikan oleh Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, ia dianggotai oleh ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin akan dibantu oleh ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Manaf Hashim dan ADUN Changkat Jong, Mohd. Azhar Jamaluddin.

Datuk Rusnah Kassim yang mempengerusikan Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional, akan dibantu oleh Adun Chenderoh, Zainun Mat Noor dan Adun Kampung Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali.

Bagi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil yang dipengerusikan oleh Datuk Samsuddin Abu Hassan, ia dianggotai oleh ADUN Selama Datuk Mohamad Daud Mohd. Yusof dan ADUN Kenering, Datuk Mohd. Termizi Idris.

ADUN Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Alias dan ADUN Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin pula menganggotai Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dipengerusikan oleh Mohd. Nizar Zakaria.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Nolee Ashilin Mohammed Radzi akan dibantu ADUN Temengor, Salbiah Mohamed dan ADUN Manong Mohamad Kamil Shafie.

ADUN Lubok Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan ADUN Pasir Panjang, Rashidi Ibrahim menganggotai Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau yang dipengerusikan Muhammad Amin Zakaria.

Datuk Shahrul Zaman Yahya yang mempengerusikan Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia akan dibantu oleh ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim.