Dua lelaki, seorang warga tempatan dipercayai bergelar Datuk Seri dan seorang rakyat Hong Kong yang ditahan di sini malam tadi kerana disyaki memiliki beberapa bahan berkaitan komunis dan bekas pemimpin komunis Chin Peng, dibebaskan awal pagi ini dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Mohd Zain berkata lelaki warga tempatan berusia 66 tahun dan warga Hong Kong berumur 59 tahun itu dibebaskan selepas polis merekodkan keterangan mereka.
Katanya kes itu disiasat mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Malam tadi, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata hasil pemeriksaan ke atas bagasi mereka, polis menemui 13 buku berkaitan komunis selain 11 cenderahati dan lapan DVD bertemakan Chin Peng selain gambar mendiang Chin Peng.
Kedua-dua lelaki itu tiba dengan penerbangan komersial dari Bangkok dan ditahan kira-kira 10.30 malam di balai ketibaan selepas 30 minit pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang .