Sabtu, 28 September 2013

Orang Pas wajib baca, jangan jadi tonggong! Umno bagi peruntukan besar untuk Islam Pulau Pinang

Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan aspek pembangunan hal ehwal agama Islam di negeri ini walaupun Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi kerajaan negeri.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, perkara berkenaan dapat dilihat berdasarkan peruntukan besar berjumlah hampir RM200 juta untuk tujuan pembangunan syiar Islam di negeri yang disalurkan sejak 2008 sehingga kini.

" Jumlah berkenaan termasuklah sebanyak RM76.2 juta bagi pembinaan 14 buah masjid baharu di seluruh negeri manakala RM130.6 juta lagi untuk pembayaran gaji guru agama Islam dan elaun pegawai agama, selain membaik pulih surau-surau yang uzur.

" Ini menunjukkan kerajaan Pusat tetap menjalankan tanggung jawab, sekali gus menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kita tidak berbuat apa-apa untuk agama Islam di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar perasmian Masjid Jamek Tasek Junjung yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di sini hari ini.
Pada majlis itu, Abdul Rahman bersama Zainal Abidin dan lebih 500 jemaah turut menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan yang dibina dengan kos sebanyak RM3.4 juta iaitu menggantikan masjid lama yang agak kecil dan sudah berusia lebih 100 tahun.
Masjid itu yang mula dibina pada September 2011 siap sepenuhnya awal bulan ini dan turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik mesyuarat, bilik audio, bilik kuliah, bilik pengurusan jenazah, kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU), selain mampu menampung kira-kira 1,200 jemaah pada satu-satu masa berbanding hanya 600 jemaah sebelum ini.

Sementara itu, Zainal Abidin Osman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, selain masjid tersebut, lapan lagi masjid telah siap dibina baharu menerusi peruntukan yang disediakan kerajaan Persekutuan.

"Antaranya termasuklah Masjid Abdullah Fahim yang menelan belanja RM35 juta, Masjid Jalan Kelawai (RM2.3 juta), Masjid Farlim (RM1.1 juta), Masjid Jalan Telaga Air (RM3.8 juta), Masjid Kota Aur (RM2.5 juta), Masjid Lahar Kepar (RM2.5 juta), Masjid Tasek Gelugor (RM3 juta) dan Masjid Sungai Gelugor (RM3.26 juta)," katanya.

" Lima lagi masjid kini sedang dalam proses pembinaan pula ialah Masjid Teluk Kumbar (RM5 juta), Masjid Simpang Tiga (RM4 juta), Masjid Sungai Acheh (RM5 juta), Masjid Lahar Tabut (RM2.4 juta) dan Masjid Timah Kampung Belah Dua (RM2.93 juta)," katanya.b