Oleh itu, kita dapati, dalam era teknologi maklumat di mana rakyat semakin kritikal dan sinis, sebarang pengumuman tidak lagi mengujakan. Malah ia disambut dengan kritikal dan sinis juga. Mungkin ada yang bersorak gembira dengan pengumuman ini tetapi kumpulan ini amatlah terhad di kalangan mereka-mereka yang telah pun berada dalam lingkungan penerima hasil langsung dari program-program terdahulu.
Mungkin tulisan ini bukanlah tulisan yang akan menggembirakan kepimpinan, namun inilah hakikat yang dapat disimpulkan setelah beberapa hari pengumuman mengenai pemerkasaan ekonomi bumiputera dibuat oleh YAB Perdana Menteri.
Kesungguhan Perdana Menteri untuk mempertahankan bumiputera tidak perlulah dipertikaikan. Kita pasti bahawa program tersebut dibuat kerana beliau benar-benar prihatin dan mendengar keluh-kesah rakyat. Sama ada ia dibuat bersempena Pemilihan UMNO, ia adalah cerita lain. Yang penting, program-program yang diumumkan cukup mantap dan bertepatan dengan kedudukan kewangan negara dan bukan sekadar janji manis ala Anwar Ibrahim.
Namun, kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat yang semakin bijak meneliti, menganalisa dan mengkritik sebarang pengumuman yang dibuat oleh kerajaan. Rakyat menjadi begini setelah melihat beberapa kelemahan dan kesilapan jelas lagi ketara dalam urustadbir negara sejak pemerintahan Tun Abdullah Badawi. Mungkin mengungkit kelemahan pentadbiran terdahulu bukanlah perkara yang baik. Namun, jika benar kerajaan ikhlas ingin melakukan perubahan yang bermakna, maka segala kesilapan dan kelemahan wajib diakui terlebih dahulu bagi membolehkan pembaikan dan pembetulan dilakukan.
Malang sekali, apa yang dikhuatiri rakyat masih tidak dapat ditangani sepenuhnya melalui program pemerkasaan ini. Ini kerana, walaupun rakyat menghargai program baru yang cukup baik lagi hebat yang diumumkan kerajaan untuk bumiputera tetapi hakikatnya, rakyat bukan mendambakan program baru, tetapi lebih berminat untuk melihat pembaikan atau pembetulan ke atas program yang telah tersasar.
Penting untuk difahami bahawa apa yang paling menggusarkan hati bumiputera ialah apabila melihat badan-badan yang bakal terlibat dalam perlaksanaan program-program baru ini, turut berhadapan dengan kontroversi.
Antaranya, GLC-GLC termasuk Petronas yang mana kedudukan bumiputera di jawatan tinggi dan tertinggi kini menjadi persoalan. Kita musykil dengan berita bagaimana personaliti-personaliti yang dikenali sebagai nasionalis yang telah berjaya mengangkat Petronas sehingga ke puncak, telah 'terbuang' atau terpinggir secara sistematik. Tempat mereka kemudian digantikan dengan liberalis dan bukan Melayu yang gemar memperlekehkan para nasionalis konon tidak cukup bijak. Apa yang berlaku dalam GLC-GLC ini kemudiannya semakin mencurigakan dan prestasi sebahagiannya juga semakin lembab selepas diambil-alih oleh kumpulan yang kononnya lebih 'bijak' dari para nasionalis tersebut. Di bawah pentadbiran mereka juga, vendor-vendor bumiputera semakin terpinggir secara perlahan-lahan.
Justeru, rakyat melihat rancangan kerajaan untuk meletakkan pembangunan usahawan bumiputera di bawah sayap GLC-GLC ini, sebagai sesuatu yang sinis sekali.
Dalam memperkatakan tentang ekuiti bumiputera juga, rakyat melihatnya dengan penuh curiga. Secara umumnya, inilah yang dipersoalkan rakyat:
Ekuinas yang bertanggungjawab untuk membantu syarikat bumiputera tidak melakukannya secara terus, tetapi melantik syarikat CIMB Private Equity, KFH Asset Management, Navis Capital Partners, CMS Opus Private Equity Sdn Bhd, KAF Fund Management Sdn Bhd (KFM), dan RM Capital Partners Sdn Bhd sebagai pengurus dana. Dalam kata lain, 'meng-sub-kontrakkan' kerja mereka. Selaras dengan itu, bumiputera tertanya-tanya, berapa banyakkah syarikat bumiputera yang telah atau akan dibantu dengan menggunakan dana yang berbilion itu? Atau, mungkin lebih tepat lagi, ke manakah dana itu dilaburkan dan siapakah yang akan mendapat manfaat terbanyak dari pelaburan tersebut? Syarikat pengurus danakah, ekuinaskah atau atau syarikat-syarikat bumiputera yang seharusnya dibantu? Lebih menyesakkan dada ialah apabila terdedah bahawa antara pemilik syarikat pengurus dana yang dilantik mempunyai kaitan dengan Ethos Consultant iaitu syarikat yang sedia menjadi kontroversi berkenaan penglibatannya dengan kerajaan Malaysia sehingga membawa kepada kejatuhan Tun Abdullah Badawi.
Selain ekuiti dan penglibatan bumiputera dalam GLC, rakyat turut 'cuak' apabila mendengar bahawa UDA Holdings bakal bertanggungjawab dalam mengatasi masalah pemilikan hartanah di bandar bagi bumiputera.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.