Jika pilihanraya yang lepas dikatakan sebagai 'ibu segala pilihanraya', maka pemilihan UMNO kali ini pula dikatakan sebagai 'ibu segala pemilihan UMNO'. Ini kerana UMNO dikatakan berada dalam keadaan yang lemah dan kehilangan punca walaupun telah berjaya menambah kerusi pada PRU yang lalu.
UMNO pada hari ini dikatakan berada dalam keadaan dilemma dalam mencari jati diri. Sebahagian dari kepimpinan di peringkat tinggi dilihat mempunyai 'idea' yang berbeza dengan penyokong-penyokong dan juga ahli dari akar umbi berkenaan hala tuju UMNO.
Secara dasarnya, ahli-ahli dan penyokong UMNO berpegang teguh kepada semangat asal penubuhannya iaitu dengan berpasak kepada perjuangan agama, bangsa dan negara. Ini bermakna UMNO wajib memperjuangkan pemerkasaan Melayu, dengan berdiri teguh atas keperibadian Melayu dan agama Islam.
Hanya kerana ingin memajukan diri, UMNO tidak harus menukar hala tujunya atau keperibadiannya. Apa yang UMNO perlu lakukan adalah menukar cara pemikiran agar lebih berdaya saing dan berdaya maju dengan memperbetulkan apa yang salah serta memperbaiki segala kelemahan.
Namun, kebanyakan pemimpin UMNO dikhuatiri tidak memahami hasrat akar umbi. Lebih teruk lagi apabila mereka turut memandang rendah dan memperlekehkan semangat UMNO yang asal. Kononnya 'kemelayuan' itu adalah kelemahan dan kerana itu UMNO tidak boleh terlalu Melayu lagi. Apa yang pemimpin sebegini terlepas pandang ialah tatkala pemimpin UMNO menggadai Melayu, kaum lain terus berjuang memperkasakan jatidiri bangsa masing-masing. Akibatnya, orang Melayu berada dalam kerugian serta mengalami ancaman 'hilang di dunia'.
Justeru itu, pemilihan UMNO yang bakal menjelang ini dilihat sebagai pertembungan antara pemimpin yang membawa roh asal UMNO dengan pemimpin yang telah tersasar jauh dari perjuangan UMNO. Biarpun semuanya memakai nama UMNO dan berpakaian UMNO tetapi beberapa tindakan dan kenyataan sebahagian mereka sebelum ini telah memperlihatkan suara liberalis yang lebih mirip kepada pembangkang.
Mungkin sukar untuk diakui tetapi hakikatnya, UMNO sedang merekah, meretak dan menunggu masa untuk pecah berkecai.
Dalam keadaan ini, kepimpinan perlu berhati-hati dalam mengambil apa saja keputusan untuk memastikan UMNO kekal kuat. Walaupun pertandingan bagi semua jawatan adalah perlu untuk memulihkan UMNO agar kembali menepati harapan dan jangkaan akar umbi tetapi hakikatnya, pertandingan juga mampu memecahbelahkan parti yang telah sedia retak ini.
Mungkin menyedari hakikat ini, maka Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO, dikatakan tidak akan mencabar Presiden.
Jika benar, ini mungkin merupakan satu keputusan yang amat bijak, sekali gus menggambarkan kematangan dan ketokohan Tan Sri Muhyiddin. Biarlah semua jawatan lain dipertandingkan, tetapi bukan jawatan tertinggi bagi mengelakkan berlakunya taufan yang bukan saja mampu menyebabkan UMNO hancur tetapi juga mampu meletakkan negara dalam keadaan tidak menentu.
Tan Sri Muhyiddin tentunya seorang tokoh UMNO tulin kerana sentiasa melakukan apa yang terbaik untuk UMNO tanpa memikirkan kesan terhadap dirinya. Tiada siapa yang boleh lupa bagaimana beliau bertindak tegas meminta Tun Abdullah melepaskan jawatan apabila bekas Perdana Menteri itu dilihat sebagai tidak lagi mampu memandu UMNO di atas landasannya yang betul.
Walaupun Tan Sri Muhyiddin boleh saja 'mencuba nasib' mencabar Dato' Seri Najib tetapi beliau cukup faham bahawa dalam keadaan sekarang, tindakan 'cuba-cuba' bukanlah sesuatu yang bijak untuk dilakukan.
Sesungguhnya, walaupun sokongan kepada Dato' Seri Najib dikatakan cukup kukuh dan tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan jawatan walaupun ia dipertandingkan, tetapi UMNO dan negara tidak mampu mengambil sebarang risiko.
Oleh yang demikian, kita rakyat Malaysia harus bersyukur kerana masih mempunyai pemimpin yang tidak tergila-gilakan jawatan serta sanggup melepaskan peluang demi memastikan parti dan negara berada dalam keadaan terkawal. Kita percaya sebahagian besar ahli-ahli UMNO menghargai pengorbanan Tan Sri Muhyiddin dan turut berkongsi semangat yang sama dengan beliau. Bagi memastikan pengorbanannya tidak sia-sia, UMNO wajib membuat pilihan yang tepat dalam pemilihan nanti.
Sekiranya ini berjaya dilakukan, maka kita semakin optimis yang UMNO bakal menambah sekurang-kurangnya 10 kerusi lagi dalam PRU-14 nanti.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.