Projek tebatan banjir Sungai Golok, Rantau Panjang yang melibatkan kos RM1.4 bilion dijangka bermula pada 2015 dan siap 2019.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. James Dawos Mamit berkata, projek di Kelantan itu melibatkan kawasan dari Sungai Lanas di Jajahan Jeli sehingga Muara Sungai Golok di Pengkalan Kubu Tumpat.
Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Golok bertujuan mengurangkan masalah banjir di sempadan Thailand dan Malaysia, terutama kawasan Pekan Rantau Panjang.
Katanya kajian mengenai projek itu dibuat sejak 2010 oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dengan teliti.
"Kajian ini penting kerana tanah di sebelah negara kita agak rendah berbanding Thailand, jadi perancangan rapi perlu supaya projek ini akan berkesan,” katanya menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang) pada sesi soal jawab Dewan Rakyat di Parlimen di sini hari ini.
Siti Zailah bertanyakan bilakah projek tebatan banjir Sungai Golok Rantau Panjang akan dilaksanakan. - Bernama