Rabu, 9 Oktober 2013

Husam kritik kerajaan negeri

Husam Musa membuat kejutan apabila membidas beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.

Datuk Husam Musa (Pas-Salor) yang membahaskan usul Belanjawan 2014 kerajaan Kelantan antara lain membangkitkan isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.

Menyentuh isu pembalakan itu, Husam meminta kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan berkenaan.

Husam juga berkata, syarikat berkenaan bakal menerima kawasan tersebut tanpa membuat sebarang tender.

"Ia sangat meragukan sekali. Seingat saya, semasa pentadbiran YAB Tok Guru dahulu, tidak ada kawasan seluas itu diberikan kepada mana-mana individu.

Mengenai kenaikan tarif air, Husam berkata, jika Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) diurus dengan lebih amanah, kenaikan itu sepatutnya boleh dielak.

Beliau berkata AKSB sebenarnya telah gagal meningkatkan kualiti bekalan air di Kelantan walaupun beberapa loji air utama telah dinaik taraf.

Husam memberi contoh naik taraf Loji Rawatan Air Jeli bertujuan mencapai 10  juta liter (JLH) air sehari dengan kos RM21 juta, namun hanya mencapai 6.6 JLH.
  
"Naik taraf loji rawatan air Bukit Remah, Tanah Merah dengan kos RM16.4 juta bagi meningkatkan pengeluaran kepada 42 JLH tetapi pencapaian 36.6 JLH.

"Naik taraf loji rawatan air Pintu Geng membabitkan kos RM52 juta dengan sasaran 30 JLH namun dengan kos sebesar itu hanya mengeluarkan 12.5 JLH,"
katanya.

Untuk mengurangkan kebocoran paip, AKSB membelanjakan RM130 juta setakat Julai tahun ini, namun kadar air tanpa hasil masih 52 peratus, bererti gagal sama sekali.

Husam juga mengkritik pihak kerajaan negeri yang banyak menghabiskan wang rakyat dengan membuat lawatan ke luar negara. Menurut beliau wang perbelanjaan dibazirkan begitu sahaja dan jika digunakan dengan baik untuk faedah rakyat ia akan lebih bermakna terutama dalam mengatasi masalah air.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan