Banyak telah diperkatakan mengenai pemilihan UMNO yang baru lalu. Ada yang berkata UMNO tidak berubah, ada yang berkata UMNO telah berubah dan ada yang berkata ia berubah ke arah yang salah serta ada juga yang berkata ia berubah ke arah yang benar.
Sejak sebelum pemilihan cakap-cakap mengenai 'perubahan' sudah terlalu sering di dengar. Ini tidak menghairankan memandangkan kerajaan juga membawa slogan 'transformasi' yang turut bermakna perubahan.
Masalahnya, terdapat berbagai-bagai tafsiran perubahan. Ada yang melihat perubahan ke arah kematangan, tetapi ada pula yang melihat ke arah meremajakan UMNO kembali. Ada yang mentafsirkan kematangan itu keterbukaan, dan ada yang mentafsirkan 'remaja' sebagai keterbukaan juga. Justeru, di manakah UMNO sebenarnya?
Dalam keadaan kecelaruan ini, UMNO wajib kembali kepada akar umbi.
Ingatlah bahawa UMNO adalah milik ahli-ahlinya dan bukan kepimpinan semata-mata. Hanya ahli-ahli UMNO yang berhak menentukan hala tuju mana yang mereka inginkan. Pemimpin UMNO tidak boleh menidakkan suara akar umbi kerana akar umbilah yang memberikan jawatan itu kepada mereka. Jika pemimpin tidak bersetuju dengan akar umbi, maka semestinya beliau tidak layak menjadi pemimpin parti ini.
Nampaknya, ahli-ahli telah bersuara melalui pemilihan yang baru lalu berdasarkan jumlah undi popular.
Jika sistem pilihanraya umum dipersoal kerana tidak mengambilkira undi popular dan hanya mengira jumlah kerusi, ia adalah kerana kita memilih wakil bagi setiap kawasan. Oleh itu, hanya penduduk setempat yang berhak menentukan wakil di kawasannya. Sistem ini didapati yang paling sesuai kerana jika kita mengambilkira undi keseluruhan maka ia akan menyebabkan ketidakadilan kepada rakyat mengikut kawasan masing-masing.
Namun, bagi pemilihan UMNO, terutama peringkat tertinggi, termasuk sayap dan juga Majlis Tertinggi, akar umbi bukan memilih pemimpin kawasan, tetapi pemimpin bagi keseluruhan. Justeru, undi popular wajar diteliti bagi memahami kehendak akar umbi itu.
Persaingan sengit antara Dato' Seri Hishamudin dengan Dato' Mukhriz Mahathir adalah antara yang paling menarik untuk dikaji. Mukhriz, walaupun kalah, jelas telah mendahului dari segi undi popular walaupun jenteranya jauh lebih terkebelakang daripada Hishamuddin. Jika jentera mereka sama hebat, kita pasti Hishamuddin akan ketinggalan jauh.
Maka, wajarlah kita bertanya, apa yang akar umbi nampak di dalam diri Mukhriz yang membuatkan mereka memilihnya?
Dari maklumbalas dan reaksi ramai di kedai kopi, dan juga di alam siber, kita mendapati rakyat melihat Mukhriz sebagai membawa imej bersih dan ikhlas. Beliau dikenali sebagai rajin bekerja dan merendah diri. Beliau juga telah terbukti mempunyai kebolehan dan kecekapan mentadbir berdasarkan pengalamannya di dunia perniagaan. Nama bapanya, hanyalah 'penyedap' rasa bagi menambah keyakinan ramai bahawa beliau merupakan 'produk' yang baik untuk negara. Mukhriz juga tanpa segan silu memaparkan dirinya sebagai pejuang Melayu malah lantang membawa agenda Melayu serta menentang sebarang ancaman terhadap agama Islam.
Ini bertepatan dengan kemenangan Dato' Seri Zahid Hamidi yang berada di tempat teratas dalam pemilihan Naib Presiden. Zahid, seperti juga Mukhriz turut memaparkan dirinya sebagai pejuang Melayu serta lantang menyahut cabaran dari para ektremis Cina mahupun samseng India. Zahid juga dilihat oleh rakyat sebagai 'bekerja' bersungguh-sungguh.
Beza antara Zahid dengan Mukhriz mungkin hanya dari segi pendekatan politik mereka di mana Zahid lebih bijak meraih populariti melalui media. Sama ada ia kebetulan atau dirancang bukanlah soalnya. Mukhriz pula lebih gemar bekerja tanpa mencari populariti, yang mana menyebabkan beliau dituduh oleh orang-orang politik sebagai 'ketinggalan'.
Namun, apa yang penting ialah, kedua-dua Zahid dan Mukhriz tidak mengambil pendekatan 'apologetic' apabila diserang oleh pembangkang atau kumpulan minoriti.
Jelas di sini bahawa kualiti inilah yang akar umbi mahukan.
Dalam memilih Ahli Majlis Tertinggi juga kita melihat trend yang sama di mana Datuk Seri Mustapa Mohamed diumumkan menduduki tempat pertama dengan jumlah undi 89,560. Mustapa selama ini cukup terkenal di kalangan rakyat sebagai mungkin satu-satunya menteri yang tidak berpolitik. Beliau sentiasa bekerja keras dan tidak pernah mencari publisiti murah. Sikap yang merendah diri dan dedikasi menyebabkan beliau dihormati serta tidak pernah menimbulkan kontroversi. Mustapa juga antara pemimpin yang tidak jemu-jemu membantu bumiputera melalui portfolio yang dipegangnya.
Kita percaya bahawa atas dasar inilah maka akar umbi memberi beliau undi tertinggi.
Pemilihan sayap pemuda, wanita dan puteri bagaimanapun sukar untuk diperhalusi memandangkan jumlah undi popular tidak pernah didedahkan. Dengan kedudukan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita yang penuh kontroversi, keputusan untuk tidak mendedahkan jumlah undi popular menyebabkan syak wasangka dan tuduhan-tuduhan liar terus 'melingkar' di kalangan akar umbi dan rakyat keseluruhannya.
UMNO sewajarnya tahu bahawa kemenangan watak yang kontroversi bukanlah satu kemenangan buat UMNO. Mungkin sukar untuk diterima, tetapi hakikatnya kemenangan mereka mengundang pandangan sinis rakyat. Apatah lagi dengan pendirian jelas Ketua Pemuda yang ingin membawa keterbukaan serta melonggarkan perjuangan UMNO dari segi agama dan bangsa.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.