Tinjauan audit jabatan Kerajaan Tempatan ke atas 10,257 tandas awam di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) antara Januari hingga Jun lepas mendapati 61 peratus daripadanya berada dalam keadaan kurang memuaskan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, berdasarkan kaedah ’star rating’ jabatan berkenaan, 2,733 atau 26.65 peratus tandas yang diaudit itu mencapai taraf dua bintang, manakala 2,460 (23.98 peratus) mencapai satu bintang, dan 1,086 (10.59 peratus) langsung tidak layak diberi bintang.
Menurutnya, hanya 350 tandas awam (3.41 peratus) mencapai taraf lima bintang, manakala 1,207 (11.77 peratus) mencapai empat bintang dan 2,421 (23.6 peratus) mencapai taraf tiga bintang.
Beliau berkata, angka-angka itu menunjukkan masih banyak yang perlu dilakukan oleh semua pihak terbabit bagi membaiki keadaan tandas-tandas mereka, terutama semasa negara sedang bersiap menyambut ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2014.
"Tahun ini kerajaan memperuntukkan RM2.5 juta untuk projek-projek naik taraf dan pembinaan tandas-tandas awam yang baharu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Sambutan Hari Tandas Sedunia 2013 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.
Hari Tandas Sedunia 2013 disambut serentak di 60 negara di seluruh dunia hari ini, dengan tema ’Tandas Kita: Bersih, Ceria dan Selesa. - Bernama