Selasa, 3 Disember 2013
Bagan Datoh destinasi pelancongan baru
Lebih 4,000 kaki pancing menyertai Fiesta Memancing Ikan Sungai yang diadakan di Jeti Bagan Datoh, di sini baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya yang merasmikan fiesta itu gembira dengan sambutan hangat daripada kaki pancing yang menyertai pertandingan tersebut.
Menurutnya, program itu secara tidak langsung dapat memperkenalkan Sungai Perak terutama di kawasan Bagan Datoh sebagai destinasi memancing yang terkemuka.
"Kawasan ini sememangnya terkenal dalam kalangan kaki pancing kerana di sini terdapat pelbagai jenis ikan dan juga udang galah.
"Pertandingan memancing ini mampu menarik kedatangan orang luar ke kawasan ini dan inilah peluang terbaik kepada pengusaha di sini memperkenalkan produk yang mereka hasilkan.
"Antaranya seperti minyak kelapa dara dari Bagan Datoh, kerisek, ikan masin, belacan, udang galah serta kelapa muda matag dan kelapa muda pandan," katanya.
Sementara itu, johan fiesta memancing itu dimenangi oleh Mohd. Fadzil Shuhadis yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 apabila berjaya menaikkan ikan siakap seberat 2.3 kilogram.
Abd. Aziz Abdul Fatah muncul pemenang kedua apabila berjaya memancing ikan belukang seberat 1.2 kg dan memenangi hadiah wang tunai RM4,000 manakala Ismail Mat Piah membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 setelah berjaya menaikkan ikan belukang seberat 910 gram.
Shahrul Zaman turut mengumumkan pekan Bagan Datoh akan dinaik taraf dengan beberapa infrastruktur lebih moden seperti jeti baharu di situ untuk pembangunan kawasan itu.
"Cadangan ini merupakan sebahagian program transformasi oleh kerajaan supaya ia dapat memajukan lagi pembangunan di sini," katanya.
Visit website
NOTA KAKI
Menurut YB Shahrul Zaman, lebih banyak tempat-tempat baru yang boleh dijadikan kawasan tarikan pelancong, untuk itu perbagai aktiviti seperti sukan berbentuk riadah bakal diadakan terutama tahun hadapan sempena tahun melawat Malaysia. Antara produk pelancongan yang akan dibangunkan ialah Beting Beras Basah yang menjadi simbol kepada kesultanan Perak.
Beliau juga mahukan lebih banyak homestay dibangunkan oleh komuniti dan homestay perlu mempunyai attach bilik air agar sesuai dengan kehendak pelancong dari bandar.
Banyak lagi yang akan dirancangkan agar dapat meningkatkan pendapatan isu rumah penduduk dengan adanya pelbagai aktiviti seperti pertandingan memancing, tresure hunt dan lain-lain lagi.
Shahrul juga ada menyebut untuk merancang trek sukan permotoran seperti yang terdapat di Pasir Salak. Kos untuk membina trek di Pasir Salak menelan belanja RM 2 juta pada ketika itu dan jika diperbanyakkan sudah tentu memakan belanja yang besar, oleh itu trek sprint test adalah yang terbaik. Ia boleh dibina dan diguna sama mengikut zon seperti di Taiping untuk kegunaan anak muda dari sebelah utara seperti Kerian, Larut, Bukit Gantang dan kawasan berhampiran, ini dapat membendung aktiviti lumba haram yang sangat membahayakan diri anak-anak muda.
Tahniah Yb.