Menurut Naib Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Sabah, Zaitun Dato Mohd Kassim, ucapan Presiden UMNO kali ini merangkumi ke semua aspek meliputi pendidikan, ekonomi dan juga agama yang begitu memberi kesan kepada dirinya sebagai perwakilan.
"Saya lihat ucapan penggulungan beliau kali ini cukup padat, penerangan yang beliau berikan terhadap beberapa isu semasa cukup jelas dan bagi saya ini merupakan ucapan penggulungan terbaik Datuk Seri Najib sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Presiden UMNO.
"Saya merasa begitu teruja sekali apabila menyentuh soal pengkaderan bagi melahirkan generasi pelapis UMNO kerana perkara itu menjadi perkara utama yang saya lakukan sebagai salah seorang pemimpin di bahagian Sepanggar," ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini .
Manakala menurut perwakilan dari UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara,Saadiah Amir, ucapan Presiden UMNO kali ini begitu bersungguh-sungguh bagi memberikan semangat kepada para perwakilan dalam usaha mentransformasikan serta meremajakan UMNO agar terus relevan di masa akan datang.
"Seperti kami di peringkat bahagian juga telah bergerak ke arah itu kerana kami ingin melahirkan ramai generasi muda sebagai pelapis bagi kepimpinan UMNO yang akan datang.
"Saya juga melihat perwakilan UMNO kali ini lebih matang dan saya yakin bahawa di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib akan membawa UMNO ke satu tahap yang dipandang mulia pada masa yang akan datang," ujarnya.
Begitu juga dengan perwakilan dari Sri Gading, Norhanim Monadam, di mana beliau melihat ucapan Presiden UMNO ini sebagai satu amanat buat ahli UMNO supaya sentiasa berusaha bagi memastikan arah tuju dan survival Melayu akan terus terpelihara.
"Ini amat penting bagi generasi akan datang. Jika dulu nenek moyang kita meninggalkan mata air untuk menghilang dahaga anak cucunya, tetapi jangan sampai kita pula meninggalkan air mata yang mengalir pada anak cucu kita kerana kegagalan kita pada hari ini untuk terus memperjuangkan survival bangsa dan agama.
"Ini adalah satu amanat yang perlu kita pegang dan perlu dijadikan tanggungjawab yang amat berat dan tidak boleh diambil sambil lewa. Ini kerana kita akan menghadapi PRU ke 14 yang membawa satu cabaran besar bagi kita untuk menentukan masa anak cucu kita di masa akan datang," jelasnya. -MediaUMNO
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.