Selasa, 3 Disember 2013

PAS MEMPOLITIKKAN ISU SABASUN

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) hari ini menafikan dakwaan pemilik Sabasun, sebuah super mini market yang beroperasi di sini, kononnya ditindas MBKT ekoran lesen perniagaannya digantung.
   
Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata isu itu timbul berikutan kegagalan pihak Sabasun mematuhi prosedur bagi membolehkan MBKT meluluskan permohonannya.
   
"MBKT sehingga kini masih menunggu kedatangan pemilik Sabasun untuk bersemuka... sebaliknya dia menggunakan hebahan di media sosial pembangkang untuk memburuk-burukkan imej MBKT dan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
   
Adzlan mahu pemilik Sabasun menghentikan tohmahan itu dan datang berbincang untuk menyelesaikan masalah.
   
Menurut beliau Sabasun dikategorikan sebagai sebuah 'super mini market' dan bukannya 'hipermarket' yang tertakluk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Baru-baru ini, isu mengenai kononnya MBKT dan kerajaan negeri Terengganu menindas usahawan Melayu tersebar luas di Internet ekoran Sabasun gagal menyambung lesen perniagaannya.
   
"MBKT banyak bertolak ansur selama ini dengan pihak Sabasun walaupun mereka banyak melakukan kesalahan seperti menambah binaan bangunan tanpa kelulusan dan permohonan pelan kepada MBKT.
   
"Sabasun adalah tempat tumpuan ramai...  jika tiada kelulusan bangunan bermakna tiada kelulusan bomba dan agensi-agensi lain dan jika berlaku kemalangan seperti kebakaran dan runtuhan, MBKT juga boleh disaman," kata Adzlan.
   
Mengulas dakwaan Sabasun kononnya MBKT tidak mahu menjual sebidang tanah bersebelahan premisnya untuk dijadikan kawasan parkir, sebaliknya dikenakan sewa RM4,000 sebulan, Adzlan berkata MBKT tidak boleh sewenang-wenangnya menjual aset mereka, terutama lokasi strategik dalam bandar.
   
Mengikut perjanjian, MBKT memberi sewa kepada Sabasun sekitar tahun 1996, sebidang tanah untuk tapak parkir, namun dikatakan Sabasun melanggar perjanjian dengan membina struktur bangunan di situ. - Bernama