Selasa, 3 Disember 2013

Sabasun lagi

Pasaraya Sabasun memulakan operasi di premis dua tingkat yang berstatus rumah kediaman. Sesebuah perniagaan dikatakan 'tidak kuat' jika tiada cabaran dan liku.

Begitulah Sabasun pada awal operasinya telah mendapat tekanan daripada pesaingnya ketika itu iaitu pasaraya Hock Kee Seng, pernah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kuala Terengganu bahawa Sabasun menjalankan perniagaan di dalam premis berstatus rumah kediaman.

Antara individu yang bertanggungjawab membantu Sabasun memperbaharui lesen perniagaan setiap tahun ialah arwah Dato' Abu Bakar Daud yang pada ketika itu merupakan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT).

Walaupun Sabasun beroperasi tanpa mengikut peraturan dan undang-undang, atas dasar mahu membantu usahawan bumiputera, MPKT dan Kerajaan Terengganu ketika itu, 'tutup mulut'.

Sabasun 'naik toncang' selepas PAS berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999. Sehinggakan pada PRU 13, Sabasun arahkan pekerjanya undi Pakatan Rakyat.

Manakala, menurut calon PAS DUN Jabi pada PRU 13, Dr. Azman Ibrahim, pengasas Sabasun iaitu Che Salmi terlibat aktif dalam program anjuran PAS. Selain pernah menjadi ahli panel forum kepenggunaan anjuran PAS Terengganu pada akhir 2011, pengasas Sabasun itu aktif dalam NGO 'mesra' PAS iaitu Royalti Terengganu (R).

Sabasun menuduh Kerajaan BN hari ini mahu menindas perniagaan mereka atas dasar politik mahu membalas dendam. Itu satu tuduhan berniat jahat dan mahu mengajak rakyat bermain politik.

Secara tidak langsung, Sabasun mahu meraih simpati, sekali gus mampu meraih keuntungan jualan yang tinggi untuk masa akan datang.

PERSOALANNYA, kenapa zaman pemerintahan PAS (1999-2004) di Terengganu, Kerajaan Negeri pimpinan Dato' Seri Abdul Hadi Awang tidak meluluskan permit kepada Sabasun? Kenapa zaman pemerintahan PAS, MBKT yang ketika itu dipimpin oleh ADUN PAS Ladang (YB. Dr. Sulaiman Abdullah, YDP MBKT) tidak meluluskan permit kepada Sabasun?

KENAPA? Kenapa pada hari ini, pada era pemerintahan Kerajaan BN, Sabasun menuduh Kerajaan BN sengaja menimbulkan masalah birokrasi, jahat dan zalim?

Adakah Sabasun benar-benar mahu bermain politik?

1. ISU CF & LESEN

Difahamkan Sijil Layak Menduduki (CF) untuk bangunan asal (2 tingkat warna merah) ada. Tetapi, bangunan tambahan yang dibuat lebih besar dari yang asal tanpa kelulusan dan permohonan pelan kepada MBKT. Umum mengetahui, pasaraya adalah tempat tuampuan ramai, jika tiada kelulusan bangunan bermakna tiada kelulusan bomba dan agensi-agensi lain. Sekiranya berlaku kemalangan seperti kebakaran dan runtuhan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh disaman dan dipersalahkan, bukannya PAS. Walaubagaimanapun, pihak MBKT telah bertolak ansur dengan memberi lesen dengan harapan Sabasun berusaha mematuhi syarat. Tapi, sebaliknya berlaku dan Kerajaan Terengganu, MBKT, BN dan UMNO dituduh zalim.

2. TANAH SEWAAN

Pihak MBKT memberi sewa kepada Sabasun sekitar tahun 1996, tanah berupa padang (bukan paya seperti yang didakwa) dengan tujuan untuk tapak parking. Tetapi tanpa kebenaran pemilik tanah iaitu MBKT dan pelan kelulusan, Sabasun telah membina struktur bangunan seperti stor dan gudang simpanan. Berlaku 2 kesalahan dalam satu masa. Selain itu, Sabasun masih tidak dapat menyelesaikan isu tarekah tanah (selepas kematian pemilik) walaupun surat telah dikeluarkan 6 bulan lepas oleh MBKT. Tiada usaha dan tiada tindakan yang dibuat oleh pihak Sabasun.

Sebenarnya, Sabasun telah membuat banyak pelanggaran syarat dan peraturan. Tetapi, untuk menutup kesalahan tiada sebarang rundingan dibuat kecuali menggunakan parti PAS untuk menghentam PBT dan Kerajaan. Sabasun telah memilih untuk bermain politik dengan PBT dan Kerajaan.